Serbuan ‘Geng Nicky’ ikut SOP PDRM – Ayob Khan

0
2116
ayob khan
Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay./ Gambar Facebook Polis Johor

SERBUAN yang dilakukan polis bagi memburu kumpulan jenayah terancang ‘Geng Nicky’ menerusi Op Pelican 3.0 di Trigon Residence Setiawalk, Puchong mengikut prosedur operasi standard (SOP) pasukan.

Menurut Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, serbuan yang dijalankan pada 20 dan 21 Mac itu dibuat berdasarkan maklumat risikan dan atas sebab-sebab munasabah.

Kata Ayob Khan, sebanyak 45 unit kondominium telah digeledah dengan cara memecahkan tombol pintu semasa serbuan itu dilakukan.

Beliau berkata, ia termasuk selepas polis mengesyaki kondominium terbabit menjadi tempat persembunyian geng berkenaan dan menyimpan dokumen atau harta-harta terlibat.

“Serbuan dan penggeledahan juga mematuhi peruntukan undang-undang Kanun Tatacara Jenayah dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baca artikel berkaitan: Polis mohon notis biru Interpol kesan Nicky Liow – Timbalan IGP

16 ahli ‘Geng Nicky’ dituduh di mahkamah, termasuk dua adik-beradiknya bergelar ‘Datuk’ – Ayob Khan

Kenyataan itu dikeluarkan sebagai menjawab luahan penduduk kondominium tersebut berkaitan kerosakan di kediaman mereka susulan serbuan berkenaan.

Dalam laporan media, sebanyak 17 kondominium yang tidak berkaitan dengan ahli perniagaan dalam buruan, Nicky Liow Soon Hee, 33, dipercayai dirosakkan polis dalam serbuan yang diadakan bulan lalu.

Tujuh daripada penduduk dan pemilik kondominium yang terjejas mengadakan sidang akhbar semalam bagi membangkitkan perkara itu dan menuntut penjelasan serta pampasan daripada polis.

Serbuan itu membabitkan 220 pegawai dan anggota polis daripada pelbagai jabatan melibatkan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor dan Pasukan Gerakan Am Batalion 4, Cheras, Kuala Lumpur.

Geng Nicky dipercayai diketuai seorang lelaki tempatan bergelar ‘Datuk Seri’ iaitu Nicky Liow yang kini dalam buruan polis kerana disyaki terbabit dalam pelbagai jenayah terancang seperti penipuan dan pengubahan wang haram.

Nicky juga adalah pengasas Winner Dynasty Group yang berpusat di Setiawalk, Puchong.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram