KENAIKAN harga makanan ternakan yang terdiri daripada soya dan jagung yang kebanyakannya diimport dari Argentina dan Brazil dikesan menjadi antara punca kenaikan harga ayam.

Memetik Astro Awani, Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menjelaskan, kenaikan harga dedak itu sekali gus menjejaskan harga ayam dalam rantaian bekalan dan peringkat ladang ke pemborong, peruncit dan pengguna.

KPDNHEP melaksanakan Ops Catut 8.0 (Ayam) yang bermula 15 April lalu. Foto KPDNHEP

“Susulan beberapa kes kenaikan harga ayam yang dikesan baru-baru ini, KPDNHEP turut melaksanakan Ops Catut 8.0 (Ayam) yang bermula 15 April lalu.


“Sehingga 16 April lalu, sejumlah 24 notis telah dikeluarkan kepada pemborong, 16 notis kepada penternak yang disyaki mencatut.


“KPDNHEP menerima 15 aduan berkaitan harga ayam, daging (satu) ikan (15) dan sayur (dua) di seluruh negara sejak puasa bermula,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Alexander berkata, KPDNHEP sentiasa memandang serius terhadap isu kenaikan harga barangan yang boleh memberi kesan kepada kos sara hidup rakyat.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau yang juga Ahli Parlimen Kapit berkata, dakwaan paparan harga ikan, ayam dan daging lembu yang dikatakan tinggi di aplikasi PriceCatcher kurang tepat serta tidak menggambarkan situasi sebenar.


Menurut beliau, paparan yang tular itu hanya membabitkan harga ikan kembung, ayam dan daging dan tidak menunjukkan harga di semua tempat.


Jelasnya, paparan yang tular itu juga membabitkan harga tiga barang itu di premis-premis sekitar di daerah “up-market” Bukit Bintang sahaja.


“Semakan mendapati terdapat premis lain di kawasan berdekatan yang menjual tiga barangan berkenaan pada harga lebih murah.


“Paparan harga aplikasi PriceCatcher disusun mengikut premis dan lokasi serta harga dari terendah kepada tertinggi dan ia bertujuan memudahkan pengguna membandingkan harga ditawarkan semua premis berdekatan dengan lokasi pengguna.


“Oleh itu, ia adalah kurang tepat membuat rumusan harga hanya berdasarkan satu premis tertentu sahaja kerana dalam dunia yang penuh dengan pilihan, aplikasi PriceCatcher memberikan pilihan kepada pengguna memilih dan seterusnya menjadi pengguna yang bijak,” jelasnya.