Empat individu termasuk seorang wanita ditahan polis berhubung video kedua promosi judi di Ampang semalam.


DENGAN upah RM200, pelakon video kedua iklan lagu raya yang mempromosi aktiviti perjudian bersetuju menerima tawaran syarikat produksi.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah membuat pendedahan itu berikutan  penahanan empat individu termasuk seorang wanita di Ampang semalam.

Mereka berusia 24 hingga 32 tahun itu dipercayai berlakon dalam video kedua yang tular di media sosial semalam.

“Siasatan awal mendapati pelakon berkenaan dibayar RM200 untuk berlakon dalam video klip terbabit,” katanya yang dipetik Harian Metro, hari ini.

Mohamad Zainal berkata, penahanan semua individu berkenaan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 505 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia dan Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 kerana terbabit dalam sebaran video mempromosikan perjudian dalam talian.

Terdahulu, media melaporkan satu lagi video iklan lagu raya yang mempromosikan kegiatan judi tular di media sosial.

Video itu tular selepas video pertama yang juga menggunakan modus operandi yang sama bagi menarik pelanggan dalam kalangan umat Islam.

Rakaman video lagu raya berkenaan memaparkan aksi lakonan serta nyanyian oleh seorang lelaki dan seorang wanita yang mempromosikan satu permainan judi.

Susulan itu, polis kini sedang mengesan lelaki dipercayai menjadi dalang utama pembikinan dua video iklan lagu raya yang mempromosi kegiatan perjudian.

Lelaki berusia 35 tahun dikenali sebagai Loh Kee Hoe beralamat terakhir di Kuala Lumpur.

Dalam perkembangan berkaitan, polis menahan13 individu setakat ini bagi membantu siasatan mengenai dua klip video iklan Hari Raya berunsurkan judi dalam talian seperti tular di media sosial baru-baru ini.

Memetik Utusan Malaysia, perkara itu disahkan Timbalan Pengarah (Risikan/ Operasi) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Dev Kumar pada  sidang akhbar di Kementerian Komunikasi dan Multimedia hari ini.

Menurutnya daripada tangkapan itu, sembilan individu ditahan bagi kes iklan pertama manakala empat lagi bagi iklan kedua.

Kesemua mereka disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1955 dan Akta SKMM.

“Mereka yang ditahan itu adalah pelakon dan penerbit video iklan berkenaan. Perintah tahanan reman bagi kesemua akan berakhir esok.

“Buat masa ini, kami masih  mengesan dalang sebenar di sebalik pembikinan video iklan itu. Kami juga tidak dapat sahkan sama ada syarikat judi dalam talian itu berpusat di Malaysia atau luar negara,” katanya.