SEMUA sekolah di tujuh daerah Kelantan yang dikenakan PKP ditutup mulai hari ini sehingga 24 April.

SEMUA sekolah di tujuh daerah Kelantan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditutup mulai hari ini sehingga 24 April ini.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Zulkernai Fauzi berkata, keputusan itu dibuat hasil mesyuarat dengan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Khas Kelantan petang semalam.

Katanya, keputusan menutup sekolah itu juga mengambil kira situasi semasa berikutan peningkatan ketara kes Covid-19 dilaporkan berlaku di sekolah negeri ini sama ada berpunca daripada guru atau murid.

Bagaimanapun menurutnya, semua murid yang tinggal di asrama perlu kekal berada di asrama ketika semua sekolah yang ditutup perlu melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

“Hasil mesyuarat dengan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Khas Kelantan petang semalam mencadangkan menutup semua sekolah di bawah KPM di tujuh daerah yang dilaksanakan PKP.

“Sehubungan itu, KPM membuat ketetapan bahawa semua sekolah di tujuh daerah berkenaan ditutup mulai 18 hingga 24 April, namun pelajar asrama perlu kekal berada di asrama,” katanya menerusi satu surat pekeliling yang dikeluarkan malam tadi.

Sementara itu, memetik Harian Metro, Pegawai JPN ketika dihubungi memaklumkan, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) akan membuat pemantauan setiap hari kepada murid asrama supaya benar-benar sihat dan tidak bergejala.

Katanya, tadika termasuk tadika swasta yang berdaftar dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di tujuh daerah berkenaan juga ditutup.