Di zamannya, Imam Ahmad Ibnu Hanbal rahimahullah sangat dihormati dan disanjungi kerana ketinggian ilmunya. Beliau ialah seorang ulama yang muktabar dan imam mujtahid.

Suatu hari, Imam Ahmad bermusafir ke Syam. Kebetulan beliau sampai di sana pada waktu malam dan tidak mempunyai tempat tinggal. Lantas Imam Ahmad pergi ke sebuah masjid dengan niat untuk bermalam di sana.

Malangnya, penjaga masjid itu tidak membenarkannya berbuat demikian dan menghalaunya keluar. Jelas sekali, penjaga masjid itu tidak mengenali ulama besar itu.

“Saya tidak ada tempat untuk bermalam.” Kata Imam Ahmad.

Namun, pengawal itu tetap tidak mempedulikan Imam Ahmad yang ingin menumpang di rumah Allah itu.

Tanpa memperkenalkan dirinya, Imam Ahmad kemudian membawa barang-barangnya keluar, dan pergi ke tangga di luar masjid. Niatnya tetap sama, ingin bermalam di masjid tersebut.

Melihat tindakan Imam Ahmad, pengawal masjid tetap berkeras tidak membenarkannya. Dia menghalau imam itu, mencampakkan barang-barangnya keluar dan diheret kaki Imam Ahmad keluar hingga beliau bersendirian di tengah jalan.

Imam Ahmad redha dengan nasib dan ketentuan Allah s.w.t terhadapnya. Kebetulan di hadapan masjid itu ada sebuah kedai roti dan pemilik kedai itu ternampak Imam Ahmad di tengah jalan. Dia mengajak Imam Ahmad bermalam di kedainya, kebetulan malam itu dia perlu menyediakan roti untuk jualan keesokan hari.

Katanya, “Saya akan membuat roti pada malam ini dan tuan bolehlah tidur di sini.”

Imam Ahmad tidak berkata banyak. Beliau memerhatikan gelagat pemilik kedai itu.

Dalam keheningan malam, dia bekerja. Menguli, membentuk dan membakar roti sambil berzikir, “Subhanallah, Alhamdulillah, La ilahaillallah, Allahuakbar… Subhanallah, Alhamdulillah, La ilaha illallah, Allahu Akbar… Subhanallah, Alhamdulillah, La ilaha illallah, Allahu Akbar…”

Sepanjang malam, dia bertasbih dan berzikir kepada Allah. Imam Ahmad sangat kagum melihat amalan si pembuat roti tersebut. Kebiasaannya seseorang akan penat dan tidak disiplin berzikir sedemikian, namun lain pula dengan si pembuat roti ini. Dia sangat istiqamah berzikir sepanjang malam.

Imam Ahmad kemudian bertanya, “Sudah berapa lama kamu berzikir seperti ini?”

Si pembuat roti menjawab, “Sepanjang hidup saya.”

Imam Ahmad yang tahu fadilat berzikir bertanya lagi, “Apakah yang kamu dapat daripada zikir harian yang kamu lakukan secara berterusan ini?”

Kata pembuat roti itu, “Saya tidak pernah berdoa sekali pun, melainkan Allah memakbulkan doa saya, kecuali satu permintaan…

Imam Ahmad bertanya, “Apakah permintaan itu?”

Si pembuat roti menjawab, “Untuk berjumpa dengan Imam Ahmad bin Hanbal.”

Mendengar jawapan si pembuat roti itu, Imam Ahmad menangis dan berkata, “Subhanallah! Sekarang, dan inilah, Allah telah membawa kamu Ahmad, mengheretnya (dirinya), kerana menjawab doamu untuk berjumpa denganku. Kalaulah bukan kerana doamu, nescaya aku  akan dapat tidur dengan aman di masjid tadi….”

__________

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram.