hikmah berpuasa bulan ramadan

Alhamdulillah, sudah seminggu kita berpuasa. Agaknya sepanjang seminggu ni ada rasa apa-apa kelainan tak? Mungkin berat badan sudah berkurang, atau barangkali tubuh terasa lebih ringan dari sebelum puasa. Atau juga sepanjang seminggu ni mata terasa berat asyik ingin tidur dan badan pula lemah, lesu dan tidak bermaya.

Ermm, nampaknya macam-macam perasaan ada. Tapi tahukah anda mengapa Allah wajibkan puasa kepada kita umat Islam? Sebenarnya jawapan kepada soalan ini wajib anda tahu. Iyalah, secara tidak langsung anda akan lebih bersemangat dan berasa termotivasi dengan hikmah-hikmah berpuasa yang Allah wajibkan pada kita.

Dan tidaklah juga anda berpuasa kerana terikut-ikut, seolahnya sebab orang lain puasa, maka anda pun puasa juga. Itu yang kita lihat ramai yang berpuasa tetapi ramai juga yang tidak mendirikan solat.

Ada beberapa hikmah yang al-Islam ingin kongsikan kepada anda berkait dengan puasa antaranya,

Pertama: Membentuk ketakwaan dalam diri

Firman Allah surah al-Baqarah: 183,

Wahai orang yang beriman! Diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan kepada orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa”

 Kedua: Bukti ketaatan dan kepatuhan dalam beribadah

Allah memerintah hambanya berpuasa bukan hanya sekadar menahan diri dari makan dan minum malah menahan diri dari melakukan kemungkaran sama ada kecil atau besar. Justeru dengan berpuasa perut dan hawa nafsu, ia menjadi bukti kepada ketaatan terhadap perintah Allah. Lihat sahaja berapa ramai yang melaksanan ibadah puasa tetapi hanya sia-sia.

Dari Abu Hurairah r.a. Nabi s.a.w. bersabda,

Sesiapa yang tidak meninggalkan percakapan bohong dan berkelakuan keji lagi buruk sedangkan dia berpuasa, tidak ada kelebihan baginya di sisi Allah selain dari mendapat lapar dan dahaga sahaja.” HR al-Bukhari

Ketiga: Mendidik diri menahan nafsu syahwat

Ketika berpuasa, secara tidak langsung kita mendidik diri untuk menahan dan membendung nafsu syahwat dari bermaharajalela.

Daripada Abdullah bin Mas’ud, Baginda s.a.w. bersabda,

“Wahai para pemuda! Sesiapa di antara kamu yang berkemampuan berkahwin, maka bernikahlah. Kerana nikah itu dapat menundukkan mata dan memelihara faraj (kemaluan). Dan sesiapa yang belum mampu, maka hendaklah berpuasa kerana puasa itu dapat menjadi perisai baginya (dalam membendung syahwat)” HR Bukhari & Muslim

Keempat: Menjadi orang yang lebih bersyukur

Puasa membentuk diri menjadi orang yang bersyukur dengan segala nikmat Allah. Lapar dan dahaga yang dirasakan saat berpuasa memberi kesedaran betapa diri lebih beruntung berbanding fakir miskin yang lebih menderita.

Inilah saatnya kita merasa bagaimana deritanya fakir miskin yang saban hari menanggung derita kelaparan kerana tiada makanan.

Berpuasa menjadikan kita lebih bersyukur dengan nikmat Allah

Kelima: Memberi pengaruh positif kepada tubuh

Saat berpuasa kita telah memberi ruang dan peluang untuk organ pencernaan beristirehat dan secara tidak langsung mempengaruhi tubuh jasmani dan rohani. Banyak kajian dilakukan oleh para ilmuwan tentang manfaat puasa terhadap tubuh.

Antaranya Dr. Yuri Nikolayev, Pengarah Bahagian Diet di Moskow yang mengatakan, amalan berpuasa mengakibatkan seseorang itu menjadi awet muda secara fizikal, mental dan spiritual.  Wallahu a’lam.

Artikel Berkaitan: Subhanallah mustajabnya berdoa pada 4 waktu bulan Ramadan , angkara muraqabah boleh menjadi punca geng plastik hitam pupus di bulan Ramadan

_________________________________

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram