KALAU masih ada yang suka menurun nombor ekor, baik kamu semua dengar cerita yang berlaku di kampung saya pada tahun 1970-an dulu. Ketika itu saya masih belasan tahun lagi. Saya masih ingat, suatu hari kampung kami heboh dengan cerita Manap Kucing menang nombor ekor.

Baik di warung kopi, tepi jalan, malah lepas kenduri tahlil pun orang bercerita. Ia menjadi buah mulut kerana jumlah yang dimenangi oleh Manap Kucing ialah puluhan ribu ringgit.

Manap Kucing sama macam kami, anak penoreh getah. Hidup ala kadar saja, sedangkan adik-beradik ramai. Bagi mendapatkan duit dengan cara mudah, Manap Kucing dan kawan-kawannya berjudi nombor ekor. Ketika itu usia mereka pertengahan 20-an.

Selalunya mereka berjudi lima puluh sen atau seringgit sahaja. Nombor yang ditikam pula sama ada nombor plat motosikal, kenderaan yang terlibat kemalangan, nombor kad pengenalan, atau yang dapat daripada mimpi. Sekali-sekala mengena, tapi hadiahnya sedikit. Beberapa ratus saja.

Daripada cerita yang saya dengar, suatu hari Manap Kucing dan seorang kawannya, Ali pergi memuja sebuah busut untuk mendapatkan nombor. Busut itu terletak di dalam belukar yang agak ‘keras’ kerana mempunyai penunggu.

Di sekitar kawasan itu pula kononnya ada perkampungan bunian. Penoreh-penoreh getah selalu terhidu bau masakan dari arah sekitar busut tersebut seperti ada kenduri.

Bunyi bising seperti majlis keraian, berkompang, bermain muzik tradisional dan berbual pun kadangkala kedengaran dari kawasan belukar itu. Anehnya, tiada sesiapa yang kelihatan.

Manap Kucing dan Ali memuja busut itu pada malam Jumaat. Mereka bawa kemenyan, colok gaharu, perasapan dan ayam panggang. Seorang pawang dibawa untuk membantu memanggil penunggu busut tersebut supaya memberikan nombor yang bakal menang hadiah pertama.

Apa yang mereka lakukan memang berhasil. Seminggu kemudian, heboh cerita Manap Kucing dan Ali jadi orang kaya baru. Nombor yang mereka dapat daripada hasil memuja busut, menang hadiah pertama.

Hadiahnya, yang saya dengar dari cerita orang, ialah – RM25,000 seorang! Bayangkan RM25,000 pada tahun 1970-an. Nilainya lebih kurang RM50,000 pada waktu sekarang.

Selepas menang nombor ekor, kami lihat sendiri Manap Kucing dan Ali berubah lagak. Mereka tiap-tiap hari bersarapan dan makan di warung. Di tempat kami, di Johor, ia dipanggil ngeteh.

Kalau mereka ke warung, semua orang yang ada di situ dibelanja. Malah, saya dengar pernah Manap Kucing dan Ali membakar duit RM5 sebagai ganti rokok.

Wang tersebut juga digunakan oleh Manap Kucing dan Ali untuk beli motosikal besar. Kalau tidak silap saya 250cc. Pada tahun 1970-an, motosikal begitu memang cukup hebat sebab ketika itu di kampung kami kebanyakan penduduk hanya ada basikal atau motosikal Honda cup 50cc saja.

Tiada seorang pun yang ada kereta. Kami lihat sendiri bagaimana dengan motosikal itu Manap Kucing dan Ali meronda keliling kampung serta merayau di pekan.

Menurut cerita yang saya dengar dari mulut ibu, ayah, kawan dan jiran-jiran, pernah beberapa orang kawan bertanya kepada Manap Kucing, sudahkah dia membayar pengeras yang diminta oleh penunggu busut?

Jawab Manap, sudah. Dia sudah pun menghantar lepat yang diminta seminggu selepas memenangi nombor ekor.

Kata Manap, penunggu itu cuma mahu dua biji lepat saja. “Ala… lepat pisang dua bungkus, berapa sen sangat. Kalau nak, dua lori pun aku boleh hantar,” itulah jawapannya yang diberitahu kepada orang yang bertanya.

Bagaimanapun, tidak sampai sebulan selepas itu, Ali meninggal dunia. Motosikal yang baru dibelinya itu bertembung dengan sebuah lori tidak jauh dari pekan Labis. Dia meninggal di tempat kemalangan itu. Perut dan kepalanya pecah hingga otaknya bersemburan di atas jalan.

Lebih mengejutkan kami, seminggu selepas itu Manap Kucing pula terbunuh selepas motosikalnya terhumban ke dalam gaung tidak jauh dari hutan tempat letaknya busut yang dipuja untuk mendapatkan nombor ekor.

Mayatnya tidak luka parah, tetapi anehnya terdapat banyak kesan cakar dan lebam di sekitar leher, perut serta belakang. Kesan itu sama seperti yang terdapat pada mayat Ali.

Mulanya kami tidak faham apa kaitan antara kematian Manap Kucing dan Ali dengan perbuatan mereka memuja penunggu busut. Selepas itu, barulah kami tau.

Menurut seorang pawang di kampung kami, sebenarnya `lepat’ yang diminta oleh penunggu busut itu bukanlah lepat pisang seperti yang difahami oleh Manap Kucing dan Ali. Lepat yang dimaksudkan sebaliknya adalah nyawa manusia.

Maksudnya, apabila nyawa sudah dikorbankan kepada syaitan penunggu busut, jenazah Manap dan Ali akan dibungkus dalam kain kapan untuk dikebumikan. Itulah simbolik maksud ‘lepat’ yang dikehendaki oleh penunggu tersebut, iaitu sesuatu yang telah dibungkus.

Sama ada telahan pawang itu betul atau tidak, atau hanya kebetulan sahaja, wallahua’lam.

Selepas kematian Manap Kucing dan Ali, tidak ada lagi penduduk kampung kami yang bermain nombor ekor. Busut yang berpenunggu itu pun sudah tiada lagi kerana telah diratakan untuk dibuat kawasan perumahan dan kedai.

Oleh: Mohd. Khair Daud, Johor.