instafamous
Pasangan suami isteri Azharique Shah Abdul Jalil, 23, (kiri) dan Iram Naz Hafiz Sabir Muhammed, 25, dipenjara sehari dan denda RM2,500 oleh Mahkamah Majistret hari ini kerana memberi maklumat bertulis palsu kepada polis, bulan lepas. - fotoBERNAMA

AKIBAT terlalu ingin berkongsi kegembiraan kerana ‘berjaya’ merentas negeri, pasangan selebriti media sosial dan suaminya masing-masing terpaksa meringkuk di dalam penjara selama sehari.

Selain itu, mereka juga didenda RM2,500 oleh Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur, hari ini selepas mengaku bersalah memberi maklumat palsu bagi mendapatkan kebenaran rentas negeri untuk berbulan madu.

Majistret Wong Chai Sia menjatuhkan hukuman itu selepas Iram Naz Hafiz Sabir Muhammed, 25, dan Azharique Shah Abdul Jalil, 23, mengaku bersalah terhadap tuduhan.

Wong berkata, perbuatan tertuduh memberi contoh buruk kepada masyarakat yang mana tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak dibenarkan rentas negeri.

“Tempahan tempat penginapan tidak dapat dibatalkan dan wang tidak dikembali bukan satu alasan untuk merentas negeri,” katanya seperti yang dilaporkan Harian Metro.

Pasangan itu dituduh melakukan kesalahan berkenaan di Balai Polis Wangsa Maju di sini, pada 2 petang, 15 Mac lalu ketika memohon kebenaran rentas negeri bagi kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) untuk ke Johor.

Kedua-duanya didakwa memberi maklumat palsu secara bertulis kepada Ketua Balai Polis Asisten Superintendan Fairul Nizam Anuar dan didakwa mengikut Seksyen 22(D) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Sabit kesalahan mereka boleh dipenjarakan hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Ahmad Hakimi Wan Ahmad Jaafar, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

BERITA BERKAITAN Rentas negeri hanya dibenar Isnin hingga Khamis – PDRM

Terdahulu, Wan Ahmad Hakimi memohon mahkamah menjatuhkan hukuman penjara kerana kesalahan dilakukan memberi kesan kepada masyarakat

“Seperti dilihat dalam ‘instastory’ (muat naik gambar dalam Instagram) ada kata pujuk polis untuk rentas negeri, ini memberi kesan kepada orang lain.

“Sepatutnya kebenaran rentas negeri bukan untuk tujuan lain (tidak disalah guna) tambahan kita lihat kes Covid-19 meningkat setiap hari.

“Dengan hukuman penjara, kita harap orang kena tuduh (OKT) dan individu lain tidak mengulangi perkara sama,” katanya.

Iram Naz merayu mahkamah tidak mengenakan hukuman penjara, mengambil kira dia wakil tunggal yang menyara keluarga dan berjanji untuk tidak mengulangi kesalahan sama.

“Kami membuat tempahan hotel pada 26 Disember lalu ketika rentas negeri dibenarkan untuk menyambut ulang tahun perkahwinan namun ditunda beberapa kali.

“Kami cuba membatalkannya, namun pihak terbabit tidak mahu kembalikan wang tempahan penginapan menyebabkan kami meneruskan hasrat (dengan) merentas negeri pada 17 Mac lalu,” katanya.

Sementara itu, Azharique Shah mengaku mengambil ringan perkara terbabit ketika mengisi borang rentas negeri termasuk memberi alamat lain ketika ke sana.

“Saya tidak sangka akan jadi macam ini kerana isteri ada rumah di Johor dan alamat diberikan itu mengikut alamat MyKad isteri di Johor,” katanya.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram