KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengesan sebanyak 83 kluster Covid-19 melibatkan sektor pendidikan sejak awal Januari sehingga semalam.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, kesemua kluster yang dikenal pasti itu melibatkan jumlah 4,868 kes telah dilaporkan oleh Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) Kebangsaan KKM.

Beliau berkata, sebanyak 49 atau 59.04 peratus daripada jumlah keseluruhan kluster tersebut dengan jumlah 2,617 kes masih aktif manakala bakinya iaitu 34 kluster dengan 2,251 kes telah diisytiharkan tamat.

Daripada jumlah kluster tersebut juga, kata Dr. Adham, sebanyak 39 kluster dengan 1,420 kes melibatkan sub-kategori sekolah/institusi Kementerian Pendidikan, 19 kluster dengan 1,870 kes melibatkan sub-kategori pendidikan tinggi dan 25 kluster dengan 1,578 kes melibatkan sub-kategori pendidikan lain.

“KKM menyambut baik komitmen semua sektor pendidikan dalam memastikan pelajar dan pelatih tidak ketinggalan mengikuti pembelajaran serta latihan secara berterusan dalam keadaan yang selamat.

“Oleh itu, KKM ingin mengingatkan semua pihak untuk sentiasa patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) dalam menangani penularan Covid-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baca artikel berkaitan: Masih lebih 2,000 kes, enam kluster pendidikan dikesan

Mengulas lanjut, Dr. Adham berkata, KKM sentiasa bekerjasama dengan semua pihak dalam sektor pendidikan dalam pencegahan, kawalan dan menangani penularan jangkitan.

Apabila pihak KKM sama ada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) atau Jabatan Kesihatan Negeri, kata Dr. Adham, menerima laporan atau notifikasi kejadian kes positif atau kluster Covid-19, pasukan kesihatan daripada PKD akan digerakkan untuk menjalankan siasatan, pengesanan kontak, langkah-langkah pencegahan dan kawalan jangkitan serta penilaian risiko.

Katanya, PKD akan menasihatkan pihak pengurusan pendidikan agar pembersihan dan menjalankan proses disinfeksi.

“Hasil penilaian risiko oleh PKD, keperluan penutupan sementara kelas atau premis akan dipertimbangkan dengan Kementerian Pendidikan, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), institusi pengajian tinggi (IPT) dan seluruh institusi pengajian dilibatkan dalam membuat keputusan.

“Ia bertujuan agar langkah-langkah di atas dapat dijalankan segera untuk mengelakkan penularan jangkitan Covid-19 di kalangan warga sektor pendidikan termasuk pelajar, guru, pekerja yang bertugas dan selanjutkan kepada komuniti.

“Kerjasama padu KKM dengan kerjasama semua pihak dalam sektor pendidikan akan terus dipertingkatkan bagi memastikan aspek kesihatan serta keselamatan warga sektor pendidikan terus terjaga,” katanya.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram