nash

PENYANYI Datuk Nash memaklumkan dirinya mengalami kecederaan kecil selain sakit-sakit badan selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 250.8 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara di Seremban, petang semalam.

Nash atau nama sebenarnya Nasharudin Elias,61 yang masih lagi dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ), Seremban, Negeri Sembilan, memberitahu keadaan dirinya yang stabil walaupun bibirnya terpaksa dijahit.

“Saya dalam keadaan stabil, cuma kena jahit sedikit di bibir atas dan bawah termasuklah di bahagian kiri siku.

“Cuma sakit sangat urat di belakang saya. Rasa macam tegang sangat…memang terlalu sakit,” katanya.

Dalam pada itu, vokalis kumpulan Lefthanded itu turut memohon doa orang ramai agar dia kembali sembuh dan sihat seperti sediakala.

“Doa anda semua adalah doa yang mustajab. Terima kasih kerana mendoakan saya. Insya-Allah, doakan semoga saya kuat,” ujarnya.

Nash yang menaiki kenderaan utiliti sukan (SUV) Toyota Harrier bersama pemandunya yang berusia 33 tahun itu dalam perjalanan dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur sebelum terlibat dalam kemalangan.

Menurut Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd. Said Ibrahim, kenderaan yang dipandu itu dikatakan telah melanggar lopak air lalu menyebabkan hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar tembok penghadang jalan di sebelah kiri lebuh raya.