Cap dan tandatangan ketua polis balai dibuat secara scan selain tulisan turut dipinda.
Itulah taktik dua wanita yang didapati memalsukan borang rentas negeri ketika ditahan di sekatan jalan raya di Plaza Tol Bentong, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Bentong Superintenden Zaiham Mohd Kahar berkata, mereka ditahan oleh anggota polis bertugas ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kuantan, Pahang.

“Ketika pemeriksaan dilakukan terhadap dokumen perjalanan rentas negeri, didapati borang berkenaan agak meragukan dan disyaki dipalsukan oleh mereka,” katanya seperti dilapor Harian Metro.

Zaiham berkata, siasatan awal mendapati cap dan tandatangan ketua polis balai yang meluluskan permit terbabit dipercayai dibuat secara ‘scan’ selain tulisan turut dipinda.

“Pemeriksaan ke atas telefon bimbit milik seorang daripada mereka mendapati ada salinan borang kosong rentas negeri siap ditandatangani dan dipercayai turut dipalsukan.

Katanya, seorang daripadanya positif dadah jenis ganja selepas ujian saringan air kencing dibuat.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan kerana pemalsuan bagi maksud menipu serta Seksyen 471 Kanun Keseksaan atas kesalahan menggunakan surat pemalsuan sebagai tulen.

“Bagi suspek yang didapati positif dadah, dia akan disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” kata Zaiham.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang ramai yang mahu membuat perjalanan rentas negeri supaya tidak mengambil tindakan dengan mengemukakan borang yang diubah suai dengan niat memalsukan dokumen berkenaan.