Lelaki bernama Muhammad Asad ini merupakan seorang Yahudi yang banyak mengembara ke negara-negara Islam, bergaul dengan semua lapisan masyarakat dan mengkaji Islam sehingga dia ‘jatuh cinta’ dengan agama ini.

Muhammad Asad dilahirkan pada 12 Julai 1900 di Bandar Lvov, Timur Glacia yang kini terletak di Poland. Dahulu kawasan ini adalah sebahagian daripada Empayar Austria.

Asad atau nama sebenarnya, Leopold Wiess adalah anak kepada Akiva Weiss, seorang peguam yang menjalankan khidmat guamannya di Lvov dan kemudiannya di Vienna.  Di bandar inilah keluarga Weiss menetap sebelum Perang Dunia Pertama meletus.

Muhammad Asad atau nama asalnya Leopold Wiess.

Ibunya, Malka adalah anak kepada seorang ahli bank yang kaya. Menurut Asad, keluarga sebelah bapanya amat kuat berpegang dengan agama Yahudi.

Datuknya adalah salah seorang daripada keturunan rabai ortodoks di Czernovitz, Bukovina dan mengharapkan anaknya turut menjadi seorang rabai. Malangnya, bapa Asad memecahkan tradisi keluarganya dengan menjadi seorang peguam.

Atas dasar menghormati tradisi keluarga, semasa kecil Asad terpaksa memperuntukkan banyak masanya dengan seorang tutor untuk mempelajari Injil Ibrani, Targum, Talmud, Mishna dan Gemarra.

Pada usia 13 tahun, Asad sudah boleh membaca Ibrani, malah bertutur dalam bahasa itu dengan fasih. Asad juga mempelajari Targum seolah-olah dia akan menjadi seorang rabai.

Pada tahun 1918, Asad melanjutkan pengajiannya di Universiti Vienna untuk mempelajari sejarah seni. Dua tahun kemudian, dia meninggalkan Vienna dan pergi ke Berlin untuk bekerja sebagai wartawan.

Pada awal tahun 1922, Asad ke Jerusalem atas jemputan bapa saudara sebelah ibunya, Dorian Feigenbaum. Asad menaiki kapal ke Mesir dan ke Palestin dengan kereta api.

Di Jerusalem, beliau ke rumah Dorian yang terletak berdekatan Gerbang Jaffa. Di sinilah Asad mula terdedah dengan realiti agama Islam, sekali gus membuka matanya mengenai betapa tidak bermoralnya zionisme.

Muhammad Asad (sebelah kanan).

Sebagai wartawan, Asad mula menyerang pemimpin-pemimpin zionis dengan soalan-soalan yang sering dikemukakan oleh orang Arab sehingga dia dikatakan bersimpati dengan bangsa itu dan anti-Zionis.

Kejayaan sebagai wartawan turut membuka peluang kepada Asad untuk menemui pemimpin-pemimpin negara Islam, menulis tentang perjuangan Islam, nasionalisme Arab serta menentang zionisme.

Sungguhpun lama tinggal dan bergaul dengan orang Islam Arab, Asad masih belum memeluk Islam sehinggalah beliau ke  Frankfurt, Jerman. Di sana beliau berkahwin dengan seorang janda, Elsa yang 15 tahun lebih tua daripadanya.

Usaha awal Asad ialah menulis buku, tetapi gagal. Asad berpindah ke Berlin dan di sana dia mula mempelajari Islam dengan serius di samping menulis untuk beberapa akhbar kecil.

Kehidupan di sebuah bandar di Eropah yang maju tidak mendatangkan ketenangan bagi Asad. Dia mendapati tidak ramai orang di dalam kereta api yang dinaikinya di bandar itu yang senyum. Mereka tidak bahagia.

Sekembali ke rumah, Asad membaca al-Quran dan mendapati betapa benarnya ayat-ayat di dalam surah At-Takaatsur yang benar-benar membuka pintu hatinya kepada Islam. Ekoran itu, Asad pergi berjumpa pemimpin persatuan Islam Berlin, mengucap dua kalimah syahadah, dan mengambil nama Muhammad Asad.

Muhammad Asad.

Asad memeluk Islam pada September 1926. Namun sebelum pengislamannya itu, berlaku satu peristiwa yang menimbulkan pelbagai pertanyaan di fikiran Asad. Kejadian itu berlaku pada musim gugur sebelumnya, semasa Asad berada di kawasan pergunungan Afghanistan.  

Ketika itu, seorang gabenor wilayah di sana tiba-tiba berkata kepada Asad “Anda sebenarnya seorang Muslim, tetapi anda masih belum menyedarinya”.  Asad terkejut dengan kata-kata itu, tetapi dia hanya berdiam diri.

Beberapa minggu selepas memeluk Islam, isterinya Elsa pula mengucap dua kalimah syahadah. Mereka sama-sama menunaikan fardu haji pada tahun 1927, diikuti oleh anak Elsa daripada perkahwinan pertamanya.

Malangnya Elsa meninggal dunia sembilan hari kemudian kerana menghidap sejenis penyakit. Anak lelakinya kemudian diambil oleh ibu bapa Elsa.

Dianggap sudah mati kerana memeluk Islam

Asad pernah menulis kepada ibu bapanya untuk memberitahu bahawa beliau telah memeluk Islam, tetapi suratnya tidak pernah dijawab. Beberapa bulan selepas itu, barulah Asad mendapat jawapannya, iaitu bapanya menganggap dia sudah mati. Khabar itu diterima melalui sepucuk surat yang dikirim oleh saudaranya.

Asad kemudian mengutus sepucuk surat sekali lagi kepada bapanya, dan menegaskan walaupun dia sudah memeluk Islam tetapi kasih sayang terhadap bapanya itu tidak pernah berubah. Malah, Asad memberitahu dalam suratnya itu, Islam mengajarnya agar lebih menyayangi serta menghormati kedua-dua ibu bapa berbanding orang lain.

Namun surat Asad tidak pernah berbalas. Selepas Perang Dunia Kedua, Asad mendapat tahu kedua-dua ibu bapanya itu meninggal dunia di kem tahanan Nazi.

Muhammad Asad.

Asad sering ditanya mengapa beliau memilih Islam? Asad memberitahu, Islam ibarat satu hasil seni bina yang sempurna.

Setiap bahagiannya harmonis, saling melengkapi dan menyokong antara satu sama lain. Tiada yang lebih atau kurang. Seimbang dan mantap. Kesempurnaan Islam inilah yang memberi kesan terhadap dirinya.

Asad tidak pernah berhenti mendalami Islam. Dia mempelajari al-Quran, hadis, bahasa Arab dan sejarah Islam.

Asad juga menetap selama lima tahun di Hijaz dan Najd. Kebanyakan waktunya di Madinah dihabiskan untuk mengamati suasana sebenar tempat di mana agama Islam bermula.

Di Hijaz, pusat yang menemukan umat Islam dari serata dunia, Asad membuat perbandingan dan pandangan sosial di kalangan dunia Islam.

Daripada kajiannya, Asad menyedari Islam bukan satu agama yang mahu umatnya menjadi pasif, sebaliknya mahu mereka sentiasa bergerak maju. Dalam hal ini, Asad pernah berkata,  “Kemunduran orang Islam bukanlah disebabkan oleh kekurangan agama Islam tetapi kegagalan mereka menghidupkannya. Bukan orang Islam yang menjadikan agama itu hebat, sebaliknya Islamlah yang menjadikan mereka hebat.”

Sejak itu, Asad nekad memperjuangkan kebangkitan semula umat Islam. Dia mengembara ke negara-negara Islam, bertemu raja-raja, pemimpin dan orang biasa. Pada 1934, Asad menulis buku berjudul Islam at the Crossroad, yang menganalisis kemunduran umat Islam.

Buku tulisan Asad tentang analisisnya berkaitan kemunduran umat Islam.

Apabila Perang Dunia Kedua meletus, Asad berada di India. Di sana Asad mengenali Muhammad Iqbal yang menyokong pemisahan India-Pakistan. Iqbal memujuk Asad agar tidak meneruskan rancangannya untuk terus mengembara ke Turkestan, China dan Indonesia.

Apabila Pakistan dibentuk pada 1947, Asad dilantik menjadi penolong Setiausaha Negara bagi Hal Ehwal Timur, dan menjadi wakil tetap negara itu ke Bangsa-Bangsa Bersatu pada 1952.

Asad menjadi duta pertama Pakistan ke PBB.

Pada tahun yang sama di New York, Asad mengahwini Pola Hamida, seorang wanita yang berasal dari Boston, AS dan telah memeluk Islam. Semasa di AS juga, Asad menulis buku The Road to Mecca (1954), yang menceritakan kisah hidup serta pengembaraannya, termasuk bagaimana dia memeluk Islam.

Setelah dua tahun di bandar raya New York, Asad dan isterinya kembali ke Pakistan pada 1955, kemudian mengembara ke Maghribi, Tangiers, Portugal serta  Sepanyol.

Dalam tempoh itu, Asad menghasilkan beberapa buah buku lagi, antaranya Principles of State and Government in Islam (terbit, 1961), Message of the Quran (terbit, 1980), dan koleksi artikel This laws of Ours and Other Essays (1987).

Antara buku tulisan Muhammad Asad.

Pada penghujung hayatnya, Asad dan isterinya menetap di Sepanyol. Asad meninggal dunia pada 20 Februari 1992 ketika berusia 92 tahun. Jenazahnya disemadikan di tanah perkuburan Islam di Granada, Andalusia.

Cendekiawan Islam dan bekas duta besar Pakistan pertama ke PBB ini terus diingati sebagai antara orang Islam dari Eropah yang berpengaruh.

Sebelum meninggal dunia, beliau hanya sempat menulis bahagian pertama buku Homecoming of the Heart, sambungan buku The Road to Mecca yang hangat diperkatakan suatu waktu dahulu.

The Raoad To Mecca, buku memoir perjalanan Asad sebagai lelaki Eropah yang mengembara dan akhirnya menemui Islam dalam dirinya.

________________

Kisah peninju dunia Mike Tyson memeluk Islam di pautan ini https://utusantv.com/2021/04/16/mike-tyson-peninju-dunia-yang-ganas-kasar-dan-angkuh-tetapi-akhirnya-tunduk-dan-sujud-kepada-allah/

Kisah perisik Rusia yang memeluk Islam sebelum ajal di pautan ini https://utusantv.com/2021/01/29/kisah-perisik-rusia-yang-memeluk-islam-10-hari-sebelum-kematiannya/

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram.