ISMAIL SABRI foto FACEBOOK MKN

SELEPAS tujuh daerah atau jajahan di Kelantan telah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) minggu lalu, kali ini giliran tiga kali jajahan mengalami nasib sama.

Tiga jajahan terbaharu yang terlibat dalam pelaksanaan PKP adalah Jeli, Kuala Krai dan Gua Musang sekali gus membuatkan semua 10 jajahan di Kelantan dikenakan PKP.

Walau bagaimanapun, pelaksanaan PKP di ketiga-tiga jajahan berkenaan hanya untuk tempoh satu minggu mulai esok sehingga 29 April ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini telah melaporkan peningkatan kes positif Covid-19 secara mendadak yang melibatkan ketiga-tiga daerah tersebut.

Beliau berkata, KKM melaporkan terdapat peningkatan kes aktif sebanyak 83.9 peratus dalam tempoh 14 hari iaitu daripada 18 kes kepada 112 kes.

Pada masa sama, ketiga-tiga jajahan itu, kata Ismail Sabri, telah bertukar kepada zon merah.

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan PKP di tiga jajahan di negeri Kelantan seperti dinyatakan bermula 22 hingga 29 April 2021.

“Pelaksanaan PKP ini untuk memastikan pergerakan penduduk di lokaliti ini dapat dikawal bagi mengelakkan penularan jangkitan Covid-19 ke kawasan lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baca artikel berkaitan: Satu lagi lokaliti di Kelantan dikenakan PKPD

Dalam pada itu, Ismail Sabri turut mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di tiga taman perumahan di Lahad Datu, Sabah.

Menurut Ismail Sabri, tiga taman perumahan yang akan dikenakan PKPD selama dua minggu itu adalah Taman Aman 3, Taman Aman Jaya dan Taman Palm Height.

Katanya, sehingga kini secara keseluruhan sebanyak 45 kes positif Covid-19 telah direkodkan di ketiga-tiga lokaliti tersebut iaitu 24 kes di Taman Aman 3, 10 kes di Taman Aman Jaya dan 11 di Taman Palm Height.

“KKM juga melaporkan masih berlaku penularan kes dalam kalangan penghuni taman tersebut dan kebanyakan kes melibatkan jangkitan serumah.

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di tiga taman perumahan itu berkuat kuasa 22 April sehingga 5 Mei.

“Pelaksanaan PKPD memudahkan tindakan kawalan Covid-19 dengan lebih pantas dan berkesan seterusnya menghalang penularan kes dalam kalangan komuniti,” jelas beliau.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram