JIKA dilihat kepada sinematografi muzik video berjudul Maghfirah oleh Ustaz Bambang feat. Shamil & Shahir sudah cukup untuk membuatkan penonton berasa kagum dengan kualiti video yang boleh dikatakan cukup WOW! dan amat menarik.

Muzik video zikir ini diterbitkan oleh Maahad Integrasi Tahfizul Quran An Nasir (D Itqan) menerusi laman YouTube mereka pada 9 April lalu dan telah mendapat sebanyak 2,208 tontonan setakat hari ini.

Pengetua Maahad Tahfiz D Itqan, Ustaz Mohd Nasir Tambi Chek menjelaskan bahawa matlamat yang ingin dicapai oleh mereka melalui muzik video zikir tersebut adalah untuk berdakwah dan dalam masa yang sama bagi memperkenalkan zikir kepada masyarakat sebagai amalan harian.

“Zikir tersebut sememangnya doa yang boleh diamalkan di bulan Ramadan terutamanya ketika menunggu waktu berbuka. Pelajar di sini juga sentiasa mengamalkannya ketika menunggu waktu berbuka setiap Ramadan,” katanya.

Tambahnya, kebiasaannya doa ini tidak digunakan secara meluas jadi ramai yang tidak tahu bahawa ia boleh dijadikan amalan di bulan Ramadan.

“Kami buat zikir ini dalam bentuk lagu untuk menyenangkan orang ramai menghafalnya terutama sekali kanak-kanak, malah ibu bapa atau orang dewasa pun boleh ikut sekali,” ujarnya lagi.

Baca artikel berkaitan: Zikir si pembuat roti. Permintaannya hanya satu iaitu…

Menurutnya, zikir yang diterbitkan oleh mereka ini dialunkan oleh Imam Masjid Sultan Abdul Samad KLIA, Ustaz Bambang Eirman Bahudin atau lebih dikenali sebagai Ustaz Bambang yang bersetuju untuk menjadi vokalis zikir ini secara sukarela.

Lebih menarik lagi, penampilan dua kanak-kanak cilik, Shamil dan Shahir yang turut menjadi vokalis tambahan bagi menambahkan keunikan kepada muzik video itu.

“Kedua-dua mereka merupakan anak saya, dan tujuan menampilkan mereka adalah untuk memberitahu zikir ini juga boleh dipupuk kepada kanak-kanak untuk belajar dari kecil,” tambahnya.

Malah, muzik video ini turut menampilkan beberapa orang ahli kumpulan qasidah maahad ini sendiri iaitu Mahabbah D Itqan.

Komposer kepada zikir ini adalah Amin Nordin, manakala susunan muzik hasil sentuhan oleh Ruby Wahyu serta suntingan video dilakukan oleh Fertography Studio.

Menurut Ustaz Nasir, kos keseluruhan pembikinan muzik video tersebut mencecah RM8,000 yang ditanggung sendiri oleh Maahad Tahfiz D Itqan dan proses pembikinan mengambil masa selama sebulan setengah.

Maahad tahfiz yang terletak di kampung Olak Lempit, Banting, Selangor ini ditubuhkan pada tahun 2012 dan kini mempunyai seramai 10 orang tenaga pengajar serta 85 pelajar lelaki dan 15 pelajar perempuan berumur 10 tahun hingga 19 tahun.

Maahad ini juga telah melahirkan seramai 28 orang pelajar yang telah khatam dan menghafal 30 juzuk al-Quran.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram