SEBANYAK 2,875 kes baharu COVID-19 dilaporkan hari ini yang merupakan penularan tertinggi dalam tempoh hampir dua bulan lalu.

Peningkatan hari ini akibat lonjakan kes di kebanyakan negeri seperti Kelantan yang mencatatkan penularan tertinggi dengan 662 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ini diikuti Selangor (633 kes), Sarawak (474 kes) dan Kuala Lumpur sebanyak 332 kes.

Katanya, tiga lagi negeri turut mencatatkan kes baharu sebanyak tiga angka iaitu Johor (169 kes), Sabah (160 kes) dan Pulau Pinang, 144 kes.

Semua negeri juga melaporkan pertambahan kes baharu kecuali Perlis manakala terendah ialah Labuan (tiga kes), Putrajaya (10 kes) dan Terengganu (22 kes).

“Hari ini juga menyaksikan tujuh lagi kematian dilaporkan dengan enam daripadanya adalah warganegara.

“Ini menjadikan jumlah kumulatif kematian akibat COVID-19 kini berjumlah 1,407,” katanya dalam kenyataan di media sosial beliau hari ini.

Kali terakhir kes melebihi angka 2,875 yang dilaporkan hari ini adalah pada 24 Februari lalu yang juga menyaksikan kali terakhir melebihi 3,000 penularan.

Baca artikel berkaitan: Kadar kebolehjangkitan Kelantan naik 1.44, Malaysia turun

Genap seminggu kes lebih 2,000, Kelantan masih tiga tertinggi

Sementara itu, kata Noor Hisham, kes sembuh baharu yang dilaporkan hari ini berjumlah 2,541 kes.

Katanya, perkembangan ini menjadikan kes aktif COVID-19 di seluruh negara kini berada pada angka 22,014.

“Daripada jumlah itu, 248 dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) manakala 115 memerlukan alat bantuan pernafasan,” jelasnya.

Kes import yang dilaporkan hari ini berjumlah 29 manakala daripada 2,846 kes tempatan, 202 adalah bukan warganegara.

KKM juga ingin memaklumkan terdapat 13 kluster baharu yang telah dikenal pasti pada hari ini.

Ia melibatkan lima kluster tempat kerja, empat kluster komuniti, tiga kluster sekolah / institusi pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan satu kluster keagamaan.

Kluster baharu berkenaan dilaporkan di Johor, Sarawak, Kelantan, Kedah, Perak, Negeri Sembilan, Sabah, Selangor dan Melaka.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram