KEMBARA Sahur UtusanTV iaitu program konvoi sambil beramal anjuran bersama rakan komuniti motosikal berkuasa tinggi, FunRideRiders, awal pagi Sabtu ini akan menyaksikan penyertaan lebih 200 peserta.

Menurut Penyelaras Projek Kembara Sahur, Azwan Zeffry Ahmad, sambutan yang diterima terhadap program kembara sahur itu amat menggalakkan lebih-lebih lagi dalam keadaan pandemik ketika ini.

Azwan Zeffry

Walau bagaimanapun, kata Azwan Zeffry, setiap peserta perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi memastikan program berjalan lancar sekali gus mengekang penularan wabak Covid-19.

“Kalau diikutkan sebenarnya ramai lagi yang menyuarakan hasrat untuk menyertai program pada kali ini tetapi kami terpaksa hadkan bagi memastikan kita dapat menjaga SOP.

“Ramai dalam kalangan peserta pun dah lama tak menunggang motosikal berkuasa tinggi masing-masing, jadi mereka sudah tak sabar-sabar menunggu Sabtu ini.

“Namun begitu, bukan sahaja berkonvoi tetapi tujuan kita juga adalah untuk mengeratkan hubungan silaturrahim dan mengambil keberkatan bulan Ramadan ini dengan beramal kepada yang memerlukan,” katanya kepada UtusanTV hari ini.

Baca artikel berkaitan: Kembara Sahur UtusanTV bersama FunRideRider Sabtu ini

Program Kembara Sahur anjuran FunRideRiders itu merupakan aktiviti tahunan komuniti permotoran berkenaan sejak tahun 2013 namun tidak dapat diadakan tahun lalu akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Tahun ini juga buat pertama kalinya FunRideRiders bekerjasama dengan UtusanTV bagi menganjurkan program Kembara Sahur berkenaan.

FunRide adalah sebuah komuniti permotoran tanpa berasaskan model khusus yang aktif menganjurkan konvoi bermotosikal dengan normal baharu dan mematuhi SOP PKP.

Program Kembara Sahur pada tahun 2017 di Tapah berlangsung meriah dengan penyertaan ratusan ‘bikers’ berkonvoi sambil beramal.

Kembara Sahur UtusanTV akan memulakan konvoi sejauh 101 kilometer di Taman Selasih, Gombak dan berakhir di Restoran Sakura Cabin, Batang Kali untuk bersahur.

Mengulas lanjut, Azwan Zeffry berkata, laluan dari Gombak ke Batang Kali itu dipilih disebabkan sekatan rentas negeri.

Pada masa sama, laluan itu juga akan menggunakan lebuh raya bagi keselamatan semua peserta.

“Jika diikutkan program Kembara Sahur kita sebelum ini semuanya ke negeri-negeri lain tetapi kerana sekatan rentas negeri tahun ini jadi kita akur.

“Saya memilih laluan ini juga bagi membantu pengusaha Restoran Sakura Cabin itu yang terkesan akibat pandemik. Sekurang-kurangnya ini usaha kami untuk memastikan perniagaannya kekal stabil,” jelas beliau.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram