BEKAS Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Group Holdings Bhd., Datuk Seri Nazir Tun Razak telah dilantik sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) berkuat kausa hari ini.

BPMB dalam kenyataan memaklumkan, pelantikan Nazir itu adalah untuk menggantikan Datuk Zaiton Mohd. Hassan yang telah bersara pada Februari lalu selepas dua tahun berkhidmat.

Katanya, Nazir mempunyai pengalaman perbankan yang luas selepas berkhidmat sebagai Pengerusi CIMB Group selama empat tahun dan sebelum itu sebagai Ketua Pegawai Eksekutif selama 15 tahun.

“Beliau juga merupakan Pengasas Bersama dan Pengerusi syarikat ekuiti swasta ASEAN iaitu Ikhlas Capital di samping pernah berkhidmat sebagai Pengarah Bukan Eksekutif Khazanah Nasional Berhad selama empat tahun.

“Selain itu, Nazir juga merupakan ahli dalam Panel Pelaburan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) selama 15 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baca artikel berkaitan: Malaysia terbit Sukuk Kelestarian AS$800 juta, pertama dalam dolar AS

Mengulas mengenai pelantikannya, Nazir meluahkan rasa syukur dan bersedia untuk membawa pengalaman yang dimiliki ke dalam BPMB.

“BPMB adalah institusi pembiayaan pembangunan utama yang ditugaskan untuk syarikat dan projek yang mempromosikan pertumbuhan sosio-ekonomi.

“Saya bersyukur kerana diberi peluang untuk berkhidmat di institusi kerajaan dan membawa bersama pengalaman bertahun-tahun saya miliki dalam sektor kewangan,” jelas beliau.

Dalam pada itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BPMB, Arshad Mohamed Ismail juga percaya pengalaman yang dimiliki Nazir menjadi aset penting kepada pertumbuhan BPMB dan juga negara.

“Saya dengan senang hati menyambut kehadiran beliau ke BPMB. Pengalaman dan kepakaran perbankan serta kewangan meluasnya akan menjadi aset penting bagi BPMB meneruskan perjalanan pembinaan negara kita,” katanya.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram