Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay

PERMOHONAN Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mendapatkan notis merah bagi memperoleh bantuan Polis Antarabangsa (Interpol) dalam usaha menjejaki ahli perniagaan dalam buruan, Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee telah pun diluluskan.

Pada masa sama, notis merah terhadap wanita warganegara China yang juga pembantu Nicky iaitu Niu Zhi turut diperoleh polis.

Maklumat itu dikongsikan Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Polis Johor, hari ini.

Menurut Ayob Khan, permohonan notis merah terhadap Nicky telah diluluskan kelmarin manakala satu lagi permohonan melibatkan isterinya diperoleh semalam.

Ayob Khan turut mengesahkan penahanan seorang pegawai kanan polis berpangkat Asisten Superintendan (ASP) bagi membantu siasatan berhubung kumpulan jenayah terancang ‘Geng Nicky’ semalam.

Walau bagaimanapun, beliau tidak mahu mengulas lebih lanjut mengenai perkara tersebut kerana siasatan masih dijalankan.

“Seperti mana yang saya katakan, saya tidak akan keluarkan apa-apa kenyataan, cuma akan sahkan sahaja sebab operasi masih berjalan.

“Saya tak nak keluar kenyataan satu, satu. Hari ini tangkap satu kita keluarkan satu kenyataan. Tidak. Lagi pun sebarang kenyataan itu akan dikeluarkan Polis Johor.

“Insya-Allah bila dah siap tangkapan susulan ini nanti saya akan buat satu sidang akhbar keseluruhan. Apa yang pasti operasi ini masih lagi berterusan dan akan ada lagi tangkapan susulan,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Baca artikel berkaitan: Serbuan ‘Geng Nicky’ ikut SOP PDRM – Ayob Khan

Seorang pegawai kanan polis berpangkat ASP berusia 40 tahun dilaporkan telah ditahan kira-kira pukul 11.30 pagi semalam oleh sepasukan pegawai dan anggota IPK Johor bagi membantu siasatan berhubung kumpulan jenayah terancang diketuai Nicky.

Difahamkan suspek memegang jawatan sebagai ketua bahagian di salah sebuah jabatan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di Kuala Lumpur.

Pegawai kanan berkenaan yang melaporkan diri bertugas di IPD tersebut pada Januari lalu ditahan di bawah Akta Langkah-Langkah Pencegahan Khas (SOSMA) 2012.

Khamis minggu lalu, Ayob Khan dilaporkan berkata polis sedang dalam proses mendapatkan notis merah bagi memohon bantuan Interpol menjejaki Nicky.

Beliau berkata, permohonan itu dijangka diperoleh pada hari sama bagi membolehkan polis membuat permohonan secara rasmi kepada Interpol.

16 ahli Geng Nicky termasuk dua adik-beradik Nicky bergelar ‘Datuk’ telah dituduh di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada 9 April lalu.

Kesemua 14 ahli Geng Nicky bersama ketua kumpulan jenayah terancang itu iaitu Nicky dan Niu Zhe telah dituduh atas kesalahan menganggotai kumpulan jenayah terancang.

Bagaimanapun pertuduhan ke atas Nicky dan Niu Zhe dijalankan secara ‘in absentia’ kerana mereka masih dalam buruan.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram