Tular di media sosial pertengkaran antara suspek dengan penghantar makanan sejak semalam./ Gambar media sosial

BANYAK dilema jadi rider sama ada penghantar makanan atau kurier.

Salah satunya, sudah sampai depan rumah pelanggan tetapi selepas beberapa minit, pintu tak dibuka-buka.

Sedangkan, ekosistem kerja semuanya berdasarkan komisen yang bermakna masa itu emas.

Maka sebab itu kadang-kadang berlakulah insiden ‘luahan rasa’ terhadap sikap pelanggan.

Bagaimanapun, ini boleh menyebabkan terjadi kes lain antara rider dan pelanggan seperti mana yang sering tular di media sosial.

Dan terbaharu semalam, seorang penganggur ditahan kerana disyaki memukul penghantar makanan dalam kejadian di pekarangan sebuah pangsapuri di Bayan Lepas.

Kejadian itu menyebabkan mangsa menerima sembilan jahitan di kepala akibat dipukul dengan penukul besi.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, terdahulu ketika kejadian, mangsa yang juga lelaki berusia 40 tahun menghantar makanan yang ditempah seorang wanita iaitu pada 4.10 petang.

Sebaik tiba, penghantar makanan terbabit menunggu lama pelanggannya itu di lokasi bagi menyerahkan makanan.

“Penghantar makanan itu menghubungi wanita berkenaan berkali-kali bagi memaklumkan bahawa dia sudah tiba di lokasi namun panggilan tidak dijawab.

“Wanita terbabit datang bagi mengambil makanan 10 minit kemudian sebelum penghantar makanan berkenaan beredar pulang,” katanya.

Baca artikel berkaitan: “Dia call banyak kali tu sebab nak tarik perhatian saya,” – Kisah yong tau fu dan pemandu Grab OKU

Soffian berkata, kira-kira 20 minit kemudian, mangsa berusia 31 tahun dihubungi suspek yang juga suami wanita itu, kononnya mahu memulangkan semula makanan.

Ketika tiba di perkarangan rumah suspek, berlaku pertengkaran antara pengganggur itu dengan mangsa.

“Suspek menuduh mangsa memarahi isterinya berkaitan penghantaran makanan dan berlaku pertengkaran antara kedua-duanya.

“Suspek kemudian dipercayai memukul kepala mangsa dengan menggunakan penukul besi,” katanya.

Susulan laporan polis yang dibuat mangsa, Soffian berkata, suspek ditahan di rumahnya pada 11.15 malam tadi.

“Turut dirampas ialah penukul besi yang digunakan sebagai senjata bagi memukul mangsa. Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan permohonan reman akan dibuat ke atas suspek bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan,” katanya.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram