Minyak masak peket bersubsidi Malaysia mendpaat permintaan tinggi di negara jiran sekali gus merancakkan aktiviti penyelududupan./ Gambar hiasan

KE Indonesia mahu pun selatan Thailand, isu ketirisan wang negara akibat aktiviti penyeludupan barangan bersubsidi bukan baru.

Bahkan menurut Pasukan Gerakan Am (PGA), kegiatan penyeludupan melalui Sungai Golok sudah menjadi seperti ‘industri kecil’ di sempadan Thailand-Kelantan.

Hinggakan terdapat aktiviti membungkus semula barangan subsidi Malaysia seperti minyak masak yang berjaya diseludup.

Apatah lagi minyak sawit dunia yang tinggi ketika ini membuatkan permintaan minyak masak bersubsidi Malaysia yang hanya berharga RM2.50 sekilo meningkat.

Pegawai Pemerintah Batalion Ke-7 PGA, Superintendan Azhari Nusi berkata, minyak yang dipek semula itu akan dijual hampir sekali ganda berbanding harga asal di Malaysia namun tetap mendapat permintaan tinggi di sana.

“Selain minyak masak, banyak lagi barangan kawalan seperti tepung, gula dan bahan bakar diseludup ke negara jiran melalui ‘laluan tikus’ di pangkalan haram.

“Barangan bersubsidi yang diberikan oleh kerajaan Malaysia kepada rakyat harus dimanfaatkan sepenuhnya dan tidak sepatutnya disalahgunakan untuk kepentingan pihak tertentu seperti diseludup,” katanya.

Azhari berkata demikian pada sidang media di Markas Taktikal PGA Lubok Setol hari ini.

Baca artikel berkaitan: Didenda RM9,199 jual ikan laga, pelihara reptilia di rumah

Mengulas lanjut, Azhari berkata, dalam kejadian terbaharu, PGA7 berjaya merampas sejumlah 8,415 kilogram (kg) minyak masak yang disumbat ke dalam empat kenderaan iaitu Proton Saga, Proton Aeroback serta dua lori Hicom.

Menurutnya, rampasan itu dilakukan ketika pasukannya melakukan serbuan bersama anggota Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan di belakang sebuah kedai di Kampung Salor pada 6 petang semalam.

“Ketika intipan dilakukan terdapat beberapa lelaki sedang menyusun kotak-kotak ke dalam dua buah lori dalam keadaan mencurigakan.

“Sebaik serbuan dibuat, kesemua lelaki itu berjaya melarikan diri namun seorang daripada pemandu lori berjaya ditahan. Pemeriksaan lanjut mendapati lokasi itu dijadikan sebagai transit barangan sebelum diseludup ke Thailand,” katanya seperti dilapor Bernama.

Azhari berkata, kesemua 8,415 kg minyak masak itu dianggarkan bernilai RM33,660.

Katanya, keseluruhan nilai rampasan termasuk dua lori, dua kereta dan minyak masak berjumlah RM117,660 dan kesemua barang dan kes diserahkan kepada KPDNHEP Kelantan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 22(1) Akta Kawalan Bekalan 1961.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram