Salah satu kisah legenda masyarakat yang popular di Perak ialah kisah sumpahan ikan tapah. Kerongsang emas dari perut ikan tapah dijadikan penawar kepada mereka yang melanggar sumpahan dengan memakan ikan tapah.

Selain waris keluarga yang menyimpan kerongsang emas untuk sumpahan ikan tapah itu, mungkin ramai tidak tahu, di Kampung Lambor Kanan juga ada satu keluarga yang menyimpan subang emas yang diwarisi turun temurun dan dipercayai boleh dijadikan penawar penyakit.

Antara waris yang pernah ditemui Mastika dahulu ialah Abd. Rahim Hamid yang merupakan anak jati kampung tersebut. Beliau merupakan pewaris subang emas tersebut yang dikatakan sezaman dengan kerongsang emas ikan tapah. Subang emas ini adalah pusaka turun temurun dan dikatakan seusia dengan kerongsang emas Tapah yang juga popular di kampung ini.

Subang emas yang sezaman dengan kerongsang ikan tapah.

Subang emas ini dikatakan salah satu daripada tiga barang kemas milik Pak Kaduk yang ditemui di dalam perut ikan Tapah.

Jika kerongsang emas digunakan sebagai penawar penyakit bagi keturunan Pak Kaduk yang melanggar sumpah memakan ikan tapah, begitu juga dengan subang emas ini. Bezanya, jika kerongsang tapah hanya untuk kegunaan keturunan Pak Kaduk saja, sebaliknya subang emas ini boleh digunakan oleh sesiapa saja yang bukan berketurunan Pak Kaduk.

Kata Abd. Rahim, subang emas ini telah digunakan oleh kaum keluarganya sejak zaman nenek moyang mereka lagi. Bagaimanapun, dia sendiri tidak jelas kisah dari mana asal usul sebenar subang emas ini disebabkan tiada fakta tepat mengenai pewaris pertamanya. Apa yang dia tahu, dia adalah generasi keempat yang terpilih sebagai penjaga dan pewaris subang emas ini.

Mengikut kepercayaan turun temurun, kaum wanita tidak dibenarkan untuk menjadi pemilik subang emas ini. Apabila hendak diwariskan, hanya diberi kepada pewaris lelaki sahaja. Dikatakan jika ia diberi kepada wanita, dipercayai kesemua keturunan keluarga itu akan ditimba musibah. Abd Rahim turut akan mewariskan subang ini kepada anak lelakinya pula.

Diceritakan bahawa subang ini berpasangan ketika dijumpai dalam perut ikan tapah. Tetapi tidak diketahui bagaimana subang ini terpisah. Abd Rahim hanya menyimpan sebelah saja subang ini. Dikatakan sebelah subang lagi disimpan oleh kaum keluarga Pak Kaduk yang berada di Siak.

Keluarga Abd. Rahim hanya menyimpan sebelah saja subang ini. Sebelah lagi dikatakan disimpan oleh waris Pak Kaduk di Siak.

Saiz subang emas ini berdiameter 5.5 sentimeter, dan di tengah-tengah subang ini dikelilingi oleh batu delima merah.

Benarkah subang emas ini mampu mengubati pelbagai penyakit? Macam mana caranya?

Ada tatacara perubatan dan pantang larang yang perlu dipatuhi. Orang luar tidak dibenarkan melihat subang ini secara berdepan.

Caranya pula mudah. Subang emas ini akan direndam di dalam air bersih lebih kurang 15 minit. Air untuk rendaman itu mestilah menggunakan air hujan ataupun air mata air seperti air telaga dan air sungai.

Subang akan direndam untuk rawatan tradisonal zaman dulu.

Ketika subang itu direndam, pemiliknya akan berdoa dengan membaca ayat-ayat suci Al-Quran dan memohon kepada Allah supaya membantu menyembuhkan penyakit yang dihidapi oleh pesakit. Kemudian, air tersebut dijirus kepada pesakit ataupun dibuat minum.

Kedengaran memang aneh dan tidak masuk akal, tetapi dikatakan sejak dahulu ramai yang sembuh dengan penawar air subang emas ini.

Namun, seiring dengan peredaran zaman, orang sudah tidak lagi mendapatkan penawar subang emas ini. Seperti kata Abd Rahim, zaman sekarang orang lebih memilih berubat dengan kaedah moden, termasuk ahli keluarganya sendiri.

🌹🌹Kisah di atas merupakan salah satu legenda dan kepercayaan masyarakat setempat zaman dahulu, juga untuk mengenali dan menghargai budaya yang pernah wujud dalam masyarakat kita. Dan ia juga sebagai bukti satu masa dahulu pernah wujud individu yang dipanggil Pak Kaduk.

Memang tiada kajian atau bukti saintifik menyatakan subang emas boleh sembuhkan penyakit. Tapi kena ingat juga zaman dulu mana ada sangat doktor atau hospital berdekatan, jadi pelbagai ikhtiar dibuat orang-orang zaman dahulu.

Memang kedengaran tidak logik, tapi kuasa Tuhan itu juga di luar batas akal fikiran manusia yang kerdil untuk ditafsir. Sekarang kalau sakit, dah senang boleh terus saja ke klinik atau hospital untuk mendapatkan rawatan.

________

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram.