Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Datuk Nordin Salleh pada Ramah Mesra bersama Media dan Penyampaian Sumbangan Tanggungjawab Sosial Korporat di Hotel Tenera, Bangi./ Gambar SKM

SURUHANJAYA Koperasi Malaysia (SKM) menyarankan agar kerajaan mempertimbangkan keterbukaan ruang dan peluang kepada koperasi yang layak untuk menyertai ekuiti dalam syarikat milik kerajaan (GLC).

Pengerusi Eksekutif SKM, Datuk Nordin Salleh berkata, peluang itu dapat membantu kerajaan meningkatkan kembali ekonomi negara sekali gus mengatasi masalah penyusutan ekonomi yang sedang dialami ketika ini.

“SKM akan sentiasa membantu dan memberi galakan kepada koperasi yang berkelayakan untuk melabur dalam GLC bahkan menjadikan koperasi juara dan dikenali dalam sektor perniagaan.

“Koperasi perlu kompetetif dalam dunia pelaburan, apapun mesti berlandaskan polisi yang tegas dan SKM sentiasa tampil memberikan bantuan serta sokongan untuk membantu koperasi berjaya dalam sektor ekonomi dipelopori,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian pada Sesi Ramah Mesra Bersama Media Dan Penyampaian Sumbangan Tanggungjawab Sosial Korporat SKM, di Hotel Tenera, Bangi semalam.

Baca artikel berkaitan: ANGKASA meterai MoU dengan Koperasi Penguatkuasa PBT dan Oriak Marketing

Menurut Nordin, oleh itu, koperasi boleh dan digalakkan untuk mencari jalan melabur dalam badan perniagaan yang bersesuaian dari segi pelaburan terpulang pada pengurusan koperasi masing-masing.

Katanya, pelancaran Pelan Transformasi Koperasi Malaysia (TransKom) 2021-2025 berupaya menjadi pemacu kepada pembangunan koperasi yang lebih progresif dan berdaya saing.

“TransKom menjamin kelangsungan sektor koperasi negara sebagai penyumbang terbesar kepada peningkatan sosioekonomi dan kesejahteraan masyarakat di negara ini.

“Transformasi ini adalah bertepatan dalam menjadi paksi transformasi kepada Gerakan Koperasi di Malaysia,” katanya.

Sementara itu, pada sesi yang sama SKM turut menyampaikan sumbangan wang tunai berjumlah RM5,000 masing-masing kepada lima wakil penerima terdiri daripada rumah anak yatim, Maahad Tahfiz dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Lima penerima itu adalah Rumah Tunas Harapan Tengku Ampuan Kuala Selangor, Maahad Tahfiz As- Salihin; Maahad Integrasi Tahfizul Quran An Nasr; Pusat Jagaan Kanak-Kanak Yatim Rukaiyah dan Lembaga Pentadbiran (M.A.S) Kampung Bharu.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram