Pengurus Besar Malaysia Airports (Niaga) Sdn Bhd Md Fadzwin Abdul Rahim dan Pengurus Besar Komunikasi Korperat Malaysia Airports Holding Berhad Nik Anis Nik Zakaria meninjau gerai-gerai di bazar Ramadan KLIA, kelmarin. - Gambar SAIFUL BAHARI ASHARI

SEBUT sahaja Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), kita pastinya mengambarkan orang ramai mengunjungi lapangan terbang tersebut sama ada untuk menaiki pesawat ke mana-mana destinasi atau menjemput rakan atau saudara mara yang baru sampai dari dalam atau luar negara.

Namun COVID-19 merubah senario itu sempadan negara ditutup dan banyak penerbangan dibatalkan. Sehubungan itu, banyak perniagaan terkesan dengan pendemik tersebut dan rata-rata premis perniagaan di terminal utama KLIA kini tidak beroperasi.

Keadaan tersebut menjadi agak sukar pada kira-kira 20,000 warga kerja yang masih bertugas bagi lapangan terbang yang masih beroperasi 24 jam itu terutama di bulan Ramadan.

Ada yang terpaksa membeli makanan sebelum datang ke tempat kerja atau keluar agak jauh dari kawasan tersebut bagi membeli juadah berbuka.

Atas inisiatif inilah Eraman, syarikat di bawah Malaysia Airport Holding Berhad (MAHB) membuka bazar Ramadan di tingkat lima bangunan KLIA iaitu berhadapan dengan pintu berlepas ke luar negara.

Menurut Pengurus Besar Malaysia Airports (Niaga) Sdn. Bhd., Md. Fadzwin Abdul Rahim (gambar), bazar Ramadan itu mula dibuka dari pukul 3 petang sehingga 9 malam.

Pelbagai juadah dan kuih muih boleh didapati pelanggan seperti ayam golek, roti john, kuih muih dan anika air dengan harga yang berpatutan dari harga serendah RM1.

Katanya, untuk keselamatan, kesemua masakan tersebut telah dimasak di tempat lain dahulu sebelum dijual di sini.

Selain menjaga aspek keselamatan, penjagaan prosedur operasi standard (SOP) juga agak ketat yang mana pada satu-satu masa dua puluh pelanggan sahaja dibenar masuk ke kawasan tersebut secara bergilir-gilir.

Pengurus Besar Komunikasi Korperat Malaysia Airports Holdings Berhad, Nik Anis Nik Zakaria mengalu-alukan masyarakat sekitar KLIA datang membeli juadah di bazar Ramadan KLIA tersebut dan mereka seperti biasa perlu mematuhi SOP seperti yang ditetapkan.

Bazar Ramadan yang julung kali diadakan itu akan dibuka sepanjang Ramadan ini, katanya ketika ditemui ketika majlis memperkenal bazar tersebut kepada media kelmarin.

  • Artikel sumbangan SAIFUL BAHARI ASHARI
Dua pekerja mengalu-alukan orang ramai datang membeli juadah berbuka puasa di bazar ramadan KLIA. – Gambar SAIFUL BAHARI ASHARI
Kakitangan Malaysia Airlines memilih juadah berbuka puasa di bazar Ramadan KLIA. – Gambar SAIFUL BAHARI ASHARI