BARU-BARU ini umat Islam di Bahau, Negeri Sembilan gempar dengan kiriman surat layang berunsur kecaman ditujukan kepada Masjid Jamek bandar itu.

Kandungan surat itu juga antara lain menghina orang Melayu dan kemudiannya ditularkan pula menerusi media sosial.

Turut dikaitkan ‘pengirim’ surat itu ialah pemilik sebuah restoran di Bahau.

Kemudiannya, pihak jawatankuasa masjid telah membuat laporan polis supaya siasatan dapat dijalankan.

Lewat malam tadi, seorang lelaki ditahan oleh sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol.

Penahanan suspek yang kini direman empat hari adalah bagi membantu siasatan kes surat layang berunsur kecaman itu.

Tular di media sosial baru-baru ini surat kecam Masjid Jamek Bahau

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook berkata, lelaki berusia 56 tahun itu ditahan di rumahnya di Taman ACBE jam 10.10 malam tadi.

“Polis turut merampas beberapa helai kertas dan sampul surat yang disimpan di dalam kabinet dapur di rumah itu yang dipercayai mempunyai kaitan dalam kes surat kecaman terhadap Masjid Jamek Bahau dan menghina Melayu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baca artikel berkaitan: Dua lagi video promosi judi tular, polis tahan 3 individu

Chang Hook berkata, berdasarkan siasatan, lelaki itu diberhentikan kerja oleh majikannya iaitu sebuah kopitiam di Bahau, kerana masalah disiplin selain sering memarahi pelanggan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 505(b) dan Seksyen 298A Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram