Awal pagi, Pak Pandir sudah bangun. Dia pergi ke kandang lembu lalu memerah susu. Setelah siap susu itu diisi ke dalam botol-botol kecil, Pak Pandir pun berangkat ke pasar untuk menjual susu tersebut.

Dalam perjalanan, Pak Pandir memasang angan-angan. Jika kesemua susu itu berjaya dijual, wangnya yang diperoleh akan digunakan untuk membeli 100 ekor anak ayam.

“Aku akan ternak anak-anak ayam itu di belakang rumah. Bila ayam-ayam itu sudah besar, aku akan menjualnya dengan harga yang mahal,” kata Pak Pandir tersengih sendiri.

Tapi, mana cukup jika ternak ayam semata-mata? Pak Pandir berfikir lagi, jika ayam-ayamnya sudah laku nanti, dia akan gunakan wang jualan ayam itu untuk membeli dua ekor anak kambing pula. Kebetulan ada padang rumput tak jauh dari rumahnya, boleh lah kambing itu meragut di situ.

Bila kambing itu sudah besar, boleh diambil susunya untuk dijual, bahkan kambing dewasa itu juga boleh dijual. Pasti banyak untungnya.

Pak Pandir tersenyum sendiri. Dia berfikir lagi, bila wangnya sudah banyak selepas menjual kambing itu, dia merancang mahu membeli lembu pula. Lagi banyak lembu, lagi bagus. Lagi banyak susu boleh dihasilkan, lagi banyak wang yang akan diperolehnya.

“Dengan begitu, aku akan jadi kaya..kaya… “ gumam Pak Pandir sambil ketawa sendiri sambil melompat-lompat kegirangan.

Ketika itu, Pak Pandir tidak sedar dia sedang melalui sebuah titian kecil yang licin kerana hujan malam tadi.

Dan semasa sedang melompat kegembiraan itu, tiba-tiba kaki Pak Pandir tergelincir… plupppp!

Habis semua susu yang dibawanya tumpah dan jatuh ke dalam sungai.

Pak Pandir terduduk. Wajahnya hiba memandang susu yang tumpah dibawa oleh air sungai, sama seperti angan-angannya yang sekelip mata hanyut.

__________

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram.