ISMAIL SABRI foto FACEBOOK MKN

SERAMAI 99 individu telah ditahan akibat kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) tidak merekod butiran diri atau mendaftar masuk premis semalam.

Menurut Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, secara keseluruhan seramai 243 individu telah ditahan atas kesalahan ingkar SOP semalam.

Daripada jumlah itu, kata Ismail Sabri, seramai 219 individu dikompaun manakala 24 lagi telah direman.

Selain kegagalan merekod diri, beliau berkata, kesalahan lain yang turut direkodkan adalah seramai 51 individu tidak memakai pelitup muka, 37 ditahan kerana tiada penjarakan fizikal manakala 18 akibat aktiviti di pusat hiburan dan 38 lagi atas lain-lain kesalahan.

“Pasukan Petugas Operasi Pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah melakukan 63,289 pemeriksaan semalam bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Seramai 3,402 pasukan pematuhan melibatkan 15,446 anggota telah membuat pemantauan di 4,410 pasaraya, restoran (5,140), kilang (2,005), bank (4,025), pejabat kerajaan (853) dan penjaja (4,535).

“Turut dipantau ialah pasar awam/tani (2,151), tempat ibadah (3,301), tempat riadah (1,748), terminal pengangkutan darat (1,600), terminal pengangkutan air (501) dan terminal pengangkutan udara (123),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baca artikel berkaitan: Rentas negeri tidak dibenarkan, Ismail Sabri akui keputusan ini tak disukai rakyat

Sementara itu, Ismail Sabri turut mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Dambai Inanam, Kota Kinabalu, Sabah selama dua minggu.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini melaporkan peningkatan kes Covid-19 secara mendadak di kampung tersebut.

Sehingga kini, kata Ismail Sabri, KKM telah melaksanakan 74 ujian saringan dan daripada jumlah itu, sebanyak enam kes positif Covid-19 telah direkodkan dalam tempoh satu minggu.

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP, kerajaan bersetuju untuk melaksanakan PKPD di Kampung Dambai Inanam, Kota Kinabalu bermula 26 April sehingga 9 Mei 2021.

“Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas semua yang terlibat dan seterusnya mengekang penularan jangkitan Covid-19 ke komuniti luar,” jelas beliau.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, PKPD di lima lokaliti di mukim Hulu Besut, Terengganu yang dijadualkan tamat 27 April ini akan dilanjutkan selama satu minggu.

Lima lokaliti yang terlibat itu adalah Kampung Belaoh, Kampung PPRT Belaoh Baru, Kampung Keruak, Kampung Pak Sik dan FELCRA Keruak, mukim Hulu Besut, Terengganu.

Katanya, setakat ini sebanyak 107 kes positif Covid-19 telah direkodkan melibatkan kesemua lokaliti tersebut hasil 2,077 ujian saringan yang telah dilaksanakan KKM.

“KKM melaporkan masih berlaku penularan berterusan dalam kalangan penduduk di kawasan PKPD dengan 22 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat serta terdapat 160 sampel yang sedang menunggu keputusan.

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melanjutkan PKPD di kelima-lima lokaliti seperti yang dinyatakan bermula 28 April sehingga 4 Mei 2021,” jelas beliau.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram