Manat anak Allah?

Segala objek yang menjadi alat sembahan manusia selain Allah S.W.T. dipanggil berhala. Berhala yang menjadi sembahan manusia juga boleh jadi dalam bentuk api, matahari, bulan, patung atau juga ideologi yang dicipta oleh manusia.

Pada zaman jahiliah, sebelum Baginda s.a.w. dilantik menjadi rasul, orang Arab telah memuja berhala serta memberikan korban sambil memohon pertolongan atau petunjuk mengenai sesuatu perkara atau persoalan.

Patung-patung berhala dengan pelbagai bentuk rupa dan saiz yang diukir mereka sendiri, disusun disekeliling Ka’bah dan juga di dalamnya. Dan pada ketika itu juga setiap keluarga dan suku Arab memiliki berhala sendiri yang mereka sembah secara berganti-ganti.

Patung-patung berhala yang disembah Arab jahiliah itu biasanya diberi nama dengan nama-nama perempuan seperti al-Lata, al-Uzza, dan Manat. Mereka menamakan sembahan tersebut dengan nama perempuan kerana menganggap berhala-berhala tersebut sebagai anak perempuan Allah.

Dalam surah an-Najm ayat 19-20, Allah S.W.T. telah menyebut secara spesifik ketiga-tiga berhala ini dengan mafhum Nya,

Maka apakah patut kamu (musyrikin) menganggap berhala al-Lata dan al-Uzza. Dan Manat, yang ketiga yang bertaraf rendah lagi hina itu (layak disembah dan dianggap sebagai anak perempuan Allah) 

Kepercayaan terhadap penyembahan berhala sememangnya telah lama berakar di kalangan orang Arab sejak zaman Nabi Nuh a.s. lagi.

Pada waktu itu nabi Nuh a.s. diutus untuk membaiki akidah kaumnya yang menyembah berhala seperti Wadd (sosok tubuh lelaki pujaan beberapa kabilah Yaman) Suwa (sosok wanita sembahan Huzail) Yaghut (berbentuk singa pujaan Muzahhaj), Ya’uq (seperti kuda sembahan Hamadan) dan Nasr (seperti rajawali sembahan Himyar).

Inilah 3 patung berhala yang disembah kaum Musyrikin Mekah

Setelah bertahun-tahun berdakwah kepada kaumnya agar meninggalkan sembahan patung berhala tersebut, namun mereka tetap ingkar. Akhirnya Allah S.W.T. menenggelamkan kesemua mereka dalam satu bencana banjir yang sangat besar yang menenggelamkan lebih dari 1/3 bumi menurut sesetengah riwayat.

Kesudahannya, kesemua mereka musnah dihapuskan Allah S.W.T. kecuali hanya mereka yang kekal beriman kepada Allah. Inilah akibatnya kerana menganggap patung berhala sebagai tuhan atau anak tuhan.

Walaupun secara zahirnya mereka dilihat menyembah objek patung yang tidak bernyawa, namun hakikat yang sebenar mereka menyembah syaitan yang dilaknat. Ini ditegaskan dalam al-Quran surah an-Nisa’: 117, Allah S.W.T. berfirman,

Yang mereka sembah selain Allah itu tidak lain hanyalah inasan (berhala), dan mereka tidak lain hanyalah menyembah syaitan yang derhaka”

Setelah bertahun-tahun Baginda s.a.w. berusaha mengajak kaumnya mengenal dan menyembah Allah, akhirnya kejayaan berpihak kepada Baginda s.a.w.

Pada tahun kelapan hijrah, era pemujaan berhala ditempat suci Ka’bah berakhir setelah seramai 10 ribu orang muslim berjaya menaklukkan Mekah.

Kejayaan ini telah membuktikan dengan jelas bahawa berhala-berhala yang mereka sembah itu hanyalah patung tidak bernyawa yang tidak mempunyai apa juga kuasa, serta tidak mampu membantu dan memberi pertolongan di saat mereka memerlukan pertolongan.

Surah al-Araf ayat 192,

Dan berhala-berhala itu tidak mampu memberi pertolongan kepada penyembah-penyembahnya dan kepada dirinya sendiri pun berhala-berhala itu tidak dapat memberi pertolongan”

Kejayaan Baginda s.a.w. beserta para sahabat menaklukkan kota Mekah akhirnya telah membersihkan akidah kaumnya terhadap penyembahan berhala.

Malah tiada lagi berhala-berhala yang menjadi pemujaan atau sembahan di Kota Mekah usai itu. Mereka semua beriman dan menyembah Allah S.W.T. Wallahu a’lam 

___________________________

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram