acong sweetchild

BAHARU sahaja menerima vaksin Covid-19 yang pertama beberapa hari lalu, pelawak dan penyanyi Acong Sweetchild kesal apabila ada segelintir pihak yang sengaja menimbulkan provokasi terhadapnya.

Dedah Acong atau nama penuhnya Ahmad Fauzi Manat, dia ada menerima banyak mesej langsung (DM) di Instagramnya yang berkongsi mengenai kes kematian yang melibatkan penerima vaksin.

“Sejujurnya memanglah pada awalnya bila saya dapat mesej begitu, saya rasa macam ramai yang inginkan saya mati.

“Saya pelik kenapa individu-individu tersebut tergamak hantar mesej berkenaan sedangkan mereka tahu saya sudah ambil vaksin pertama.

“Seharusnya mereka di luar sana menyokong mereka yang telah mengambil vaksin terbabit bukannya menakut-nakutkan dengan cerita tentang kematian,” katanya ketika ditemui URTV pada sidang media Star Vendor di Pusat Dagangan Dunia (WTC), baru-baru ini.

Acong dan isterinya, Marya Zuraida menerima vaksin jenis Pfizer Biontech di KPJ Tawakkal, Kuala Lumpur selepas menerima panggilan telefon daripada pihak hospital.

Dalam pada itu, Acong menafikan dia menerima vaksin itu menggunakan ‘jalan pintas’, sebaliknya menganggap ia adalah rezeki buatnya dan isteri.

Sama seperti rakat Malaysia yang lain, Acong dan isteri turut mendaftar untuk mendapatkan suntikan imunisasi tersebut melalui aplikasi MySejahtera.

“Saya ada muat naik gambar telah divaksin di Instagram tetapi telah dipadam selepas menerima lambakan soalan dan DM.

“Mesej yang dihantar banyak yang negatif daripada positif. Saya beritahu isteri, kalau nak mati, bila-bila masa kita boleh mati.

“Saya reda dan ikhlas divaksin. Saya harapkan selepas suntikan vaksin yang kedua selepas perayaan Aidilfitri akan bertambah baik…Insya-Allah,” ujarnya.

Sementara itu, Acong sempat berpesan kepada orang ramai usah gusar dan bimbang untuk menerima vaksin yang disediakan oleh kerajaan.

“Ia adalah initatif kerajaan dan saya kira sangat bagus untuk kita sebagai rakyat Malaysia divaksin.

“Sebenarnya itu juga satu usaha untuk kita mencegah daripada terkena wabak berjangkit seperti Covid-19,” tuturnya.