DUA lagi kluster pendidikan termasuk sebuah melibatkan institusi bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) antara 12 kluster baharu COVID-19 yang dilaporkan hari ini.

Dua kluster pendidikan itu ialah Kluster Sungai Senibung di Sarawak (14 kes positif) dan Kluster Kampung Pangkal Chuit di Kelantan (27 kes positif).

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, selain itu, empat kluster tempat kerja dan empat kluster komuniti dilaporkan hari ini.

Katanya, dua lagi kluster ialah kluster keagaaman (Johor) dan kluster pusat tahanan di Pulau Pinang.

“Sebanyak 64 kluster melaporkan pertambahan kes baharu.

“Kluster dengan pertambahan kes baharu tertinggi pada hari ini adalah Kluster Jalan Raja Bukit Pasir (148 kes), Kluster Kampung Batu Sembilan (52 kes) dan Kluster Tapak Bina Tanjung Kupang (41 kes),” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Sementara itu, kata Noor Hisham, sebanyak 2,776 kes positif COVID-19 dilaporkan hari ini dengan Selangor, Sarawak dan Kelantan kekal menjadi tiga negeri tertinggi.

Katanya, Selangor mencatatkan sebanyak 762 kes diikuti Sarawak sebanyak 615 kes dan Kelantan sebanyak 343 kes.

Baca artikel berkaitan: Hampir 100 sekolah ditutup di Selangor, P. Pinang

“Terdapat 13 kes kematian pada hari ini yang melibatkan enam kes di Sarawak, tiga kes di Selangor, dua kes di Sabah dan masing-masing satu kes di Kelantan dan Johor.

“Sebanyak 12 kes melibatkan warganegara dan satu (1) bukan warganegara. KKM mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mereka,” jelasnya.

Kematian termuda yang dilaporkan hari ini melibatkan seorang pesakit wanita berumur 32 tahun di Kapit manakala tertua berusia 84 tahun di Tumpat.

Dalam pada itu, kata Noor Hisham, sebanyak 1,803 kes sembuh dilaporkan dan perkembangan ini menjadikan kes aktif kini berjumlah 24,713 kes.

“Terdapat 300 kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) manakala 133 memerlukan bantuan pernafasan,” ujarnya.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram