Darjah Kebesaran Datuk Seri Nicky batal, ditarik balik

0
51867
ayob khan
Ayob Khan menunjukkan gambar suspek Nicky Liow yang sedang diburu./ Gambar FB Polis Johor

SELEPAS dikenakan notis merah daripada Polis Antarabangsa (Interpol) minggu lalu, hari ini gelaran Datuk Seri yang dianugerahkan kepada ahli perniagaan dalam buruan, Nicky Liow Soon Hee dibatal dan ditarik balik Istana Pahang. 

Penarikan semula Darjah Kebesaran Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang membawa gelaran Datuk Seri itu adalah berkuat kuasa serta merta. 

Keputusan yang diumumkan Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Dr. Sallehuddin Ishak sekali gus membuatkan Nicky Liow perlu mengembalikan semula Darjah Kebesaran itu kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang. 

Pada masa sama, gelaran Datuk terhadap adik Nicky, Liow Wei Loon yang sebelum ini menerima Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) turut dibatalkan dan ditarik semula. 

Sallehuddin memaklumkan, surat penarikan darjah kebesaran itu telah dihantar kepada penama terlibat Rabu lalu. 

“Penarikan semula anugerah darjah kebesaran dibuat bagi menjunjung perintah Sultan Pahang dan penama tidak dibenarkan memakai sebarang gelaran yang dikurniakan. 

“Penama perlu mengembalikan Darjah Kebesaran kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang selaras dengan Undang-undang Darjah Kebesaran dan Bintang-bintang Negeri Pahang,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Baca artikel berkaitan: Notis merah Datuk Seri Nicky, pembantu diluluskan – Ayob Khan

Khamis lalu, permohonan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mendapatkan notis merah bagi memperoleh bantuan Interpol bagi menjejaki Nicky Liow telah pun diluluskan. 

Notis merah terhadap wanita warganegara China yang juga pembantu Nicky iaitu Niu Zhi turut diperoleh polis.

Maklumat itu dikongsikan Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Polis Johor. 

16 ahli Geng Nicky termasuk dua adik-beradik Nicky bergelar ‘Datuk’ telah dituduh di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada 9 April lalu.

Kesemua 14 ahli Geng Nicky bersama ketua kumpulan jenayah terancang itu iaitu Nicky dan Niu Zhe telah dituduh atas kesalahan menganggotai kumpulan jenayah terancang.

Bagaimanapun pertuduhan ke atas Nicky yang merupakan pengasas Winner Dynasty Group dan Niu Zhe dijalankan secara ‘in absentia’ kerana mereka masih dalam buruan.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram