SINGLE Comel Pipi Merah menjadi sebuah lagu trending pada 2018 selepas penyanyi Datuk Sri Siti Nurhaliza mengabadikan lagu ciptaan beliau untuk anak sulungnya, Siti Aafiyah.
Bersempena dengan kelahiran cahaya mata keduanya pada 19 April lalu, Siti turut tidak ketinggalan mengabadikan sebuah lagu berjudul Anakanda yang dituju khas buat puteranya.
Menurut Siti, beliau mencipta lagu Anakanda ketika sedang mencari ilham sebuah lagu khas untuk anak yang bakal dilahirkan.
Memilih rentak inang bagi menyesuaikan dengan konsep keseluruhan album lagu kanak-kanak klasik, Legasi. Lagu ini diterbitkan oleh Pown Hasril.
”Lagu Anakanda ini merupakan lagu paling akhir saya rakamkan untuk album Legasi. Apabila memutuskan untuk memasukkan lagu Comel Pipi Merah ke dalam album Legasi, saya terfikir untuk mencipta sebuah lagu khas dan baharu buat anak yang bakal lahir.
“Anakanda menggambarkan harapan ibu bapa terhadap jati diri anak lelaki serta mahu menerapkan sisi bertanggungjawab terhadap orang sekeliling.
”Melagukan lirik yang positif, bermoral dan menerapkan asas yang baik juga membantu perkembangan minda anak-anak. Anakanda bukan sahaja bentuk harapan yang dilagukan oleh saya tetapi harapan setiap insan yang memiliki cahayamata,” katanya.
Malah, Siti juga telah menyiapkan video muzik Anakanda yang akan disiarkan secara rasmi di saluran Youtube Siti Nurhaliza, hari ini, pukul 9 malam.
Dalam pada itu, saluran Youtube Siti Nurhaliza juga turut melancarkan peraduan khas sempena single terbaharu yang akan diumumkan hari ini.
Untuk info, album Legasi yang diterbitkan oleh Siti Nurhaliza Productions (M) Sdn. Bhd dan edaran digital oleh Universal Music Malaysia itu telah dilancarkan pada 1 April lalu.
Jangan lupa tonton klip video Anakanda alunan gemersik penyanyi kesayanan ramai ini!