Syak wasangka, tiada keserasian punca UMNO tolak Bersatu – Mahdzir Khalid

0
256
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid ketika ditemubual wartawan UTUSANTV di Ibu Pejabat TNB Jalan Bangsar. GAMBAR: Abd Razak Aid

TAHAP kesangsian dan syak wasangka yang tinggi antara ahli UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) terutama melibatkan pentadbiran kerajaan membuatkan hubungan antara kedua-dua parti itu bagai retak menanti belah.

Perkara itu didedahkan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid yang turut mengakui tiada keserasian sepanjang satu tahun ‘bersama’ membuatkan UMNO mengambil keputusan untuk tidak lagi menjalinkan hubungan dengan Bersatu apabila tiba Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) kelak.

Lebih mengguris hati, kata Mahdzir, ada ahli Parlimen UMNO yang menang PRU-14 atas tiket UMNO tetapi mengambil keputusan ‘melompat’ untuk menyertai Bersatu.

Beliau berkata, ketidakserasian berlaku itu akhirnya membawa kepada elemen yang semakin tidak sihat antara kedua-dua parti.

“Dalam tempoh satu tahun ini, saya tak tahu di mana silapnya adunan itu tak berapa menjadi. Contohnya, kalau kata kita perap daging untuk buka puasa, pagi itu kita dah letak segala bahan dan bila petang bakar semua cantik.

“Namun, bila bab UMNO dan Bersatu ni mungkin kurang serasi, sama ada dari segi hubungan, pertuturan atau perjumpaan. Jadi, ada sedikit tak ‘masuk’.

“Walaupun ada menteri (UMNO) di situ, malah yang jadi pengerusi di syarikat milik kerajaan (GLC) seperti saya tetapi dalam konteks antara parti telah menjadi lebih keruh. Umpama kerja aku biar aku selesaikan, kerja engkau biar engkau sendiri,” katanya dalam wawancara eksklusif bersama UtusanTV, baru-baru ini.

Baca artikel berkaitan: Keputusan MT UMNO dibuat atas semangat musyawarah -Shahril

Mengulas lanjut, Mahdzir berkata, hubungan antara kedua-dua parti itu dilihat semakin keruh apabila berlaku beberapa peristiwa dalam soal pelantikan pemimpin seterusnya membawa kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Menurut Mahdzir, UMNO daripada awal sejak dijemput menubuhkan kerajaan tidak pernah menamakan sesiapa pun sebagai Perdana Menteri, sebaliknya memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen.

Walau bagaimanapun, beliau berkata, Seri Paduka tidak berkenan membubarkan Parlimen disebabkan keadaan yang tidak mengizinkan ekoran penularan pandemik Covid-19.

“Jadi, kita bermesyuarat semula dan akhirnya namakan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri, bawa cadangan itu kepada pucuk pimpinan UMNO.

“Kenapa Muhyiddin dipilih? Sebabnya beliau datang daripada parti yang sememangnya sudah ada dalam kerajaan. UMNO dan Pas ketika itu bukan kerajaan, hanya ketika itu dijemput untuk menjadi sebahagian daripada kerajaan.

“Hasil perbincangan panjang, akhirnya UMNO menerima menjadi sebahagian daripada kerajaan. Itu permulaan cerita tetapi agak kurang serasi dan akhirnya membawa kepada apa yang telah diputuskan dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU),” jelas beliau.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram