Pekan Sungai Lembing di Kuantan, Pahang, mempunyai banyak kisah. Selain catatan sejarah berkaitan perlombongan, di sini juga terdapat Air Terjun Pelangi yang unik.

Setiap hari, di antara jam 9.00 hingga 11.00 pagi, satu lengkungan pelangi akan muncul di hadapan curahan air terjun yang jatuh itu.

Dari segi saintifik, pelangi adalah salah satu fenomena optik yang terjadi secara alamiah di atmosfera bumi. Pelangi dengan tujuh warna yang berbeza akan terhasil apabila berlakunya biasan cahaya dan keadaan ini biasanya muncul ketika hujan gerimis atau selepas hujan.

Suatu ketika dahulu, pelangi tidak dipandang sebagai suatu fenomena alam. Tetapi ia dianggap sebagai suatu objek yang boleh membawa malang kepada manusia. Kewujudan pelangi dikaitkan dengan pelbagai mitos aneh dan pelik.

Air Terjun Pelangi di Pahang.

Pesan orang tua, apabila terpandang pelangi, seseorang itu diharamkan untuk bercakap. Tidak boleh ditegur pelangi yang muncul itu kerana bimbang akan disampuk. Pelangi dikatakan sebagai seekor ular besar yang turun ke bumi untuk mencari makanan. Jaluran tujuh warna itu pula dikatakan sisik ular yang turun dari kayangan.

Selain itu, pelangi juga tidak boleh ditunjuk dengan jari kerana bimbang akan menjadi kudung. Untuk mengelakkan terkena sumpahan tersebut, orang yang melihat hanya boleh menggunakan muncungnya untuk ‘menunjuk’ pelangi.

Mitos tersebut sedikit sebanyak telah menyebabkan seseorang, terutamanya kanak-kanak menjadi kecut perut. Tetapi, kepercayaan itu beransur hilang dihambat arus pemodenan yang dibawa oleh sains.

Bagaimanapun, bagi penduduk di sekitar Sungai Lembing, Kuantan, Pahang, kewujudan pelangi yang mengiringi air terjun di kaki bukit Gunung Tapis, mempunyai mitosnya yang tersendiri.

Mengikut cerita legenda yang berkisar di kalangan penduduk asal di kawasan berkenaan, air terjun yang dianggarkan wujud sejak ribuan tahun itu menjadi tempat bersiram puteri bunian.

Dikatakan, puteri tersebut akan ke kaki gunung itu untuk bermain curahan air ketika pelangi muncul. Ia berdasarkan cerita beberapa individu yang pernah melihat kelibat perempuan cantik yang diiringi dayang-dayang muncul ketika pelangi tersebut berlabuh.

Air terjun ini dikaitkan sebagai tempat puteri bunian bersiram.

Sehingga ke hari ini, pelangi tersebut akan terus berlabuh di aliran air terjun yang berketinggian kira-kira 500 kaki itu.

Lengkungan pelangi yang berketinggian kira-kira dua meter dari paras air sungai seolah-olah sedang mendarat di tengah-tengah belantara negeri Pahang. Amat jelas dan cantik. Satu persatu jalur warnanya yang bermula dari merah hinggalah ke ungu, dapat diamati dengan jelas.

Menjadi sesuatu yang unik apabila ia akan muncul setiap hari di antara pukul 9.00 pagi hingga 11.00 pagi jika cuaca berada dalam keadaan cerah.

Kemudian, pelangi tersebut akan beransur-ansur hilang apabila hari semakin meninggi. Jika langit dalam keadaan mendung atau hujan, tiada langsung  kelibat pelangi yang dapat dilihat. Disebabkan fenomena semula jadi itu, air terjun tersebut dikenali sebagai Air Terjun Pelangi.

Koordinat air terjun itu yang strategik menghadap tepat ke arah matahari terbit menyebabkan pembiasan cahaya berlaku sehingga membentuk lengkungan pelangi yang cantik.

Air Terjun Pelangi.

Setiap hari, pelangi tersebut akan muncul secara melintang merentasi air terjun itu. Apa yang menarik, lengkungan pelangi yang terbentuk itu sangat rendah dari permukaan air seakan mampu dicapai oleh tangan.

Di kawasan air terjun itu, terbentuk seperti lengkungan kawah batu yang besar. Di sekitar kawasan kawah batu itu hanya dipenuhi oleh tumbuhan renek dan lumut-lumut hijau serta alga. Ini menjadi penyumbang kepada pembentukan pelangi kerana tiada pokok besar yang menghalang cahaya matahari.

Di antara pukul 9.00 dan 11.00 pagi, pancaran cahaya matahari berada di sudut strategik sehingga menyebabkan pembiasan cahaya berlaku melalui air yang mencurah dari Gunung Tapis itu.

Air terjun pelangi.

Selain sinonim dengan kisah puteri bunian bersiram, air terjun itu juga mencatatkan kisah misteri apabila penduduk kampung di kawasan tersebut mendakwa, terdapat ular sawa gergasi yang berukuran sebesar pemeluk orang dewasa menjadi penunggu air terjun itu.

Hampir dua dekad yang lalu, penduduk di Sungai Lembing pernah gempar dengan penemuan bangkai ular sawa gergasi di kawasan air terjun itu. Ular tersebut dikatakan jatuh dari air terjun dan terhempas ke batu sehingga berkecai dan dagingnya berselerak di kawasan sekitar. Berkemungkinan, ular tersebutlah yang dianggap sebagai penunggu air terjun itu.

Penunggu ular gergasi antara mitos di air terjun ini.

Untuk sampai ke lokasi air terjun itu, hanya terdapat laluan pacuan kereta empat roda dan trek untuk meredah hutan yang memerlukan masa antara satu hingga dua jam untuk sampai.

Terdapat dua jalan masuk untuk ke Air Terjun Pelangi yang terletak kira-kira 35 kilometer dari pekan Sungai Lembing. Satu di Kampung Kuala Kenau, manakala satu lagi pintu masuk terletak berhampiran dengan balai polis Sungai Lembing. Terdapat perkhidmatan sewa kenderaan untuk meredah hutan untuk memudahkan pengunjung.

Trek untuk sampai ke air terjun pelangi.

Oh ya, kalau mahu menyaksikan keindahan Air Terjun Pelangi, haruslah bertolak seawal pagi dari pekan Sungai Lembing supaya sampai ke destinasi pada waktu yang bersesuaian.

_________

Artikel lain : Riwayat duka Puteri Lindungan Bulan, puteri berdarah putih yang disembunyikan sehingga ke nafas terakhir

Artikel lain : Kisah buaya putih di Sungai Linggi. Asalnya dari seorang wanita yang jatuh ke dalam sungai lalu berubah menjadi buaya

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram.