Nasi daging dan air asam kerisik, memang menu yang tak jemu dimakan. Kalau ada jamuan bersama keluarga, menu ini antara yang menjadi pilihan.

Cara membuatnya juga tidak sesukar mana walaupun memerlukan bahan yang banyak. Tak percaya? Jom cuba resipi yang dikongsikan Khairul Abdullah atau lebih dikenali sebagai Super Daddy.

Bahan yang diperlukan untuk melaksanakan projek ini:

2 cawan Beras basmathi – direndam 30 minit dan toskan

300 gm Daging – potong kiub saiz sedang

½ cawan Susu cair (kalau tiada pun tak apa)

1 helai Daun pandan

1 ½ sudu besar Rempah kurma

1 kiub Pati ayam

1 sudu besar Minyak sapi

2 sudu besar Minyak masak

½ biji Tomato

2 sudu Kismis hitam (kalau ada)

2 sudu Gajus (kalau ada)

Bahan untuk menumis:

½ biji Bawang besar/bawang kecil – hiris nipis

3 ulas Bawang putih – hiris nipis

1 kuntum Bunga lawang

1 batang Kayu manis

4 biji Buah pelaga

Bahan untuk air asam kerisik :

1 biji Bawang besar – hiris nipis

2 biji Tomato – hiris nipis

5 biji Cili padi – potong kecil

1 inci Belacan

1 sudu Pes asam jawa – dibancuh dengan ½ cawan air

½ sudu besar Gula

1 sudu kecil Garam

1 sudu besar Kerisik

1 sudu jus Limau nipis

Cara melaksanakan projek ini:

1. Rebus daging yang telah dipotong kiub bersaiz setengah kotak mancis (jangan kecil dari tu, nanti daging hancur) bersama 5 cawan air serta ½ sudu rempah kurma dan garam sehingga empuk. Paling cepat gunakan pressure cooker dan set selama 25 minit .

2. Panaskan minyak sapi dan minyak masak dalam kuali atau periuk yang besar dan senang dikacau. Masukkan bahan tumis dan tumis sebentar. Kemudian masukkan lebihan serbuk kurma dan kacau sehingga naik bau.

3. Masukkan susu cair jika ada dan kacau sehingga pekat dan masukkan beras yang telah ditos bersama daun pandan. Kacau sehingga naik bau dan sampai sebati. Masukkan daging, kismis, gajus dan tomato. Kacau rata.

4. Pindahkan beras tadi ke periuk elektrik dan masukkan 3 cawan air rebusan daging tadi bersama kiub pati ayam. Kiub pati ayam tu hancurkan atau elok cairkan dahulu. Tak perlu tambah garam. Kacau sedikit supaya sebati dan tutup.

5. Biarkan nasi masak dan selepas masak gemburkan dengan garfu agar nasi tak berketul bila sejuk nanti.

Cara nak buat air asam kerisik :

1. Paling baik, tumbuk kasar cili bersama sebahagian tomato dan sebahagian bawang serta belacan.

2. Selepas tu masukkan semua bahan tumbuk dan bahan lain ke dalam bekas dan gaul sebati.

Maka hidanglah sepinggan nasi bersama beberapa ketul daging bersama semangkuk air asam. Perah limau dalam baki air rebusan daging tadi dan tabur daun sup.

Cara nak makan :

1. Ceduk 2 sudu kuah air asam dan gaul bersama nasi.

2. Cubit daging yang dah lembut tu, celupkan ke dalam air asam dan kaut sikit bawang, tomato dan cili dan letakkan ke atas nasi lalu suapkanlah ke mulut dengan penuh perasaan.

3. Rasa nasi yang gebu dan sedap diikuti rasa daging enak dan masam-masam manis pedas tu bikin air liur meleleh wehhh.

4. Hirup sikit demi sedikit baki air rebusan tadi yang kini dah jadi sup.

5. Dan makanlah dengan bersungguh-sungguh.

Dan bayangkan aku disisimu.

#ResepiSuperDddy

#NasiDagingIstimewa

P/S: Banyak lagi resepi mudah aku di Instagram @mynameiskhairul”

Sumber : Khairul Abdullah