HUZIR MOHAMED


BUKAN satu tetapi sebanyak 18 laporan diterima polis berkaitan rakaman audio yang didakwa mirip Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tular baru-baru ini.

Menerusi satu kenyataan, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, pihaknya menjalankan siasatan bagi menentukan kesahihan atau kemungkinan terdapat pihak memalsukan rakaman itu bertujuan mencetus kegentaran awam dan mewujudkan perasaan tidak harmoni antara dua parti politik.

Rakaman audio berdurasi empat minit 17 saat itu, kedengaran suara mirip Anwar (kanan) memuji ucapan Ahmad Zahid pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU 2020) menerusi panggilan telefon.

Menurutnya, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan iaitu kenyataan yang menyebabkan atau mungkin mengundang kegentaran awam serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar atau perkhidmatan rangkaian mengikut peruntukan Seksyen 108 (2) Kanun Tatacara Jenayah.

“Penularan rakaman audio tersebut telah memberikan pelbagai persepsi negatif dan menimbulkan kebimbangan masyarakat berdasarkan ribuan komen netizen di media sosial memandangkan kedua-dua individu dikaitkan merupakan pemimpin politik berpengaruh,” katanya.

Huzir pada masa sama mengesahkan memanggil Presiden PKR itu untuk dirakamkan percakapan di bawah Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah dan beliau telah hadir bersama peguamnya di Bukit Aman, hari ini.

Ujarnya, langkah itu adalah satu prosedur biasa bagi melengkapkan siasatan dan diperlukan untuk membantu siasatan tentang sejauh mana rakaman audio tersebut dapat disahkan sebagai perbualan Anwar bersama Zahid.

“Siasatan terperinci juga dijalankan untuk mengenal pasti individu yang membuat rakaman audio tersebut, motif ia disebarkan dan sama ada wujud modifikasi rakaman oleh pihak tertentu untuk bertujuan menyebabkan atau mungkin mencetus kegentaran awam,” tambahnya.

Rakaman audio berdurasi empat minit 17 saat itu, kedengaran suara mirip Anwar memuji ucapan Ahmad Zahid pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU 2020) menerusi panggilan telefon.

Pada rakaman itu juga, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson dikatakan mengakui tidak mengikuti PAU secara dekat, selama 22 tahun.

8 April lalu, Pemuda UMNO Seremban membuat laporan polis serta menggesa Ahli Parlimen Bagan Datuk itu supaya turut membuat laporan bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan dan mendakwa pelaku yang bertanggungjawab.

Ketuanya, Zool Amali Hussin berkata, Ahmad Zahid perlu mengambil tindakan undang-undang termasuk memfailkan saman terhadap individu yang melakukan perkara itu.

Exco Pemuda Umno Wan Muhammad Azri Wan Deris turu membuat laporan polis meminta pihak berkuasa menyiasat perbualan melalui telefon yang didakwa antara Ahmad Zahid dan Anwar.

Wan Muhammad Azri, juga dikenali sebagai blogger Papagomo, berkata siasatan akan menentukan sama ada fail audio berdurasi empat minit itu sahih atau jika ada dalang yang telah memalsukannya