ANWAR IBRAHIM

KALI ini Datuk Seri Anwar Ibrahim masuk Bukit Aman tak lama – berbanding ketika hadir untuk memberi keterangan enam siasatan berkait dengannya pada 16 Oktober 2020.

Kenderaan Ketua Pembangkang itu tiba dua minit sebelum pukul 10 pagi dan kira-kira sejam setengah kemudian, Anwar sudah selesai.

Beliau kemudian bercakap kepada media yang tunggu di pekarangan Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu.

Kata Presiden PKR, beliau hadir bagi memberi keterangan susulan sebagai saksi dalam kes rakaman audio yang didakwa miripnya dengan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya, beliau memberikan kerjasama sebaiknya kepada pihak polis yang menyiasat kes itu mengikut Seksyen 505 B Kanun Keseksaan.

Namun tegasnya, dalam proses memberi keterangan itu, beliau tanya juga kepada polis kes rasuah mana, ugutan mana atau jenayah mana berkait dengannya itu.

“Saya dipanggil sebagai saksi, dalam kes audio, yang didakwa percakapan saya dan Zahid. Saya beri kerjasama dengan polis.

“Soalnya, saya tak tahu kes rasuah mana, ugutan mana, jenayah mana? Tetapi saya beri kerjasama. Kalau ada pendakwaan (selepas ini), saya beri keterangan lengkap.

“Saya tanya juga kepada polis dalam keterangan itu, saya bangkitkan beberapa perkara, antaranya, kenapa perkara ini mahu dijadikan isu oleh kerajaan?

“Nampak terdesak di situ. Apa kena mengena dengan kemelesetan ekonomi, apa penyalahgunaan kuasa yang ada?” katanya.

Hadir di sebelahnya, peguam beliau, S.N Nair.

Baca artikel berkaitan: Wiretapping dan politik Malaysia yang penuh keajaiban

Video perbualan didakwa antara Zahid dan Anwar tular beberapa hari selepas Perhimpunan Agung UMNO 2020.

Walaupun ramai melihatnya adalah satu isu politik, namun pada masa sama ada beberapa laporan polis dibuat.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram