SEJAK 21 Februari lalu, Malaysia tidak pernah mencatatkan kes baharu COVID-19 melebihi angka 3,000.

Namun begitu, selepas lebih dua bulan, hari ini menyaksikan kes baharu COVID-19 di Malaysia mencecah 3,142 kes.

Kes jangkitan baharu yang dicatatkan pada 21 Februari lalu adalah sebanyak 3,297 kes.

Selangor terus menjadi penyumbang tertinggi kes baharu malah mencatatkan kadar empat angka apabila melaporkan sebanyak 1,019 kes hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, tiga negeri dan wilayah lain yang turut merekodkan kadar tertinggi adalah Kelantan (523 kes); Kuala Lumpur (440 kes) dan Sarawak (416 kes).

Baca artikel berkaitan: 13 lagi kematian, 2,733 kes baharu

Kata Noor Hisham, dua lagi negeri iaitu Johor dan Kedah turut mencatatkan kes baharu pada kadar tiga angka iaitu masing-masing sebanyak 194 dan 120 kes.

“Negeri dan wilayah lain melaporkan jumlah dua angka manakala hanya Perlis dan Labuan mencatatkan kes terendah iaitu satu dan empat kes,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Dr. Noor Hisham berkata, jumlah kes baharu yang dicatatkan hari ini menjadikan kes keseluruhan seluruh negara merekodkan melebihi 400,000 berjumlah 401,593 kes.

Menurut Dr. Noor Hisham, seramai 1,822 kes sembuh dicatatkan hari ini dengan 26,719 kes masih lagi aktif setakat ini.

Dr. Noor Hisham turut memaklumkan sebanyak 15 kes kematian yang semuanya warganegara dilaporkan hari ini iaitu enam kes di Sarawak; dua di Kelantan dan masing-masing satu di Sabah, Selangor, Pulau Pinang, Johor, Perak, Negeri Sembilan dan Pahang.

“Sebanyak 306 kes memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) dengan 151 kes daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

“3,129 kes daripada keseluruhan kes yang dilaporkan hari ini merupakan kes tempatan manakala 13 lagi kes import melibatkan empat warganegara dan sembilan bukan warganegara,” jelas beliau.

Dr. Noor Hisham turut memberitahu sebanyak 12 kluster baharu dilaporkan hari ini dengan empat kluster melibatkan sektor pendidikan; empat kluster komuniti; dua kluster tempat kerja dan masing-masing satu kluster kumpulan berisiko tinggi dan kluster keagamaan.

Kata Dr. Noor Hisham, Selangor merekodkan tiga kluster baharu diikuti dua di Sarawak, Kedah dan Johor serta masing-masing satu di Sabah, Perak serta Kuala Lumpur.

“Sebanyak 68 kluster dilaporkan dengan pertambahan kes baharu hari ini dengan kluster-kluster yang merekodkan pertambahan baharu tertinggi adalah Kluster Pulai Chondong (66 kes), Kluster Pintu Air Relau (30 kes) dan Kluster Layar Hujung (22 kes),” katanya.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram