SEORANG peniaga burger di Kelantan dikompaun RM50,000 kerana berniaga melebihi masa ditetapkan. Foto MEDIA SOSIAL


Oleh Ir. Saladin Hasan Salleh

SUHU kemarahan dalam media sosial panas berapi dengan kritikan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebagai kerajan zalim dalam kes kompaun RM50,000 ke atas seorang peniaga burger di Kelantan.

Siapa yang tak marah. Ramai yang kata: Agak-agaklah nak kompaun RM50,000. Abang tu meniaga burger tepi tangga rumah kot. Banyak mana sangat untungnya…Mana budi bicaranya?”

Rakyat merasa tertindas. Sudahlah kehidupan serba mencabar di musim pandemik Covid-19. Tambah pula di bulan puasa, lapar dan dahaga adalah kombinasi yang cepat membakar emosi.

Tetapi untuk berlaku adil, kita juga perlu melihat isu ini secara menyeluruh kerana kes saman itu ada banyak hikmah dan pengajarannya yang boleh kita sama sama renungkan.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mengeluarkan kompaun itu adalah badan pelaksana polisi. Mereka bukanlah pembuat polisi. Dan apa yang dilakukan mereka adalah masih dalam peruntukan undang-undang.

Mereka juga ada bukti kukuh sebelum mengeluarkan kompaun. OCPD Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, pihaknya menerima aduan penduduk
yang operasi peniaga berkenaan melebihi pukul 10 malam ke atas dengan ramai pelanggan didapati duduk dan makan di situ.

Tegas Abdul Rahim, pihaknya bukan mengeluarkan kompaun sesuka hati tanpa budi bicara, sebaliknya tindakan tegas demikian diambil apabila memang terdapat perbuatan yang melanggar SOP ketika dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Jangan kita lupa, seluruh negeri Kelantan kini diletakkan di bawah PKP. Kes hariannya beratus-ratus dan kini secara konsisten muncul sebagai negeri top 3 penyumbang kes positif Covid-19.

PDRM bukannya parti atau orang politik. Mereka adalah pelaksana polisi. Kalaulah PDRM itu berpolitik, pastinya mereka tidak membuat keputusan sekeras itu demi menjaga populariti.

Jadi, adalah tidak adil menuduh kerajaan PN sebagai zalim tak berhati perut. Kerana dalam proses membuat keputusan, ada banyak pihak yang terlibat.

Berbalik kepada kritikan rakyat, ia adalah sesuatu yang positif. Ini menunjukkan suburnya kebebasan bersuara dalam era media sosial. Ia adalah satu proses demokrasi.

Jika isu ini berlaku 20-30 tahun lalu, pastinya suara rakyat tidak didengari kerana komunikasinya adalah satu hala. Tapi kini kritikan rakyat didengari kerajaan PN. Alhamdulillah.

Buktinya, Kementerian Kesihatan akan menilai semula kes peniaga burger tadi bagi mempertimbangkan sama ada akan diberi pengurangan atau pengecualian kompaun sekiranya didapati ada asas yang munasabah.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Adham Baba menjelaskan, mereka yang dikompaun sentiasa diberikan peluang mendapat keadilan dan dibenarkan mengemukakan rayuan mengikut mekanisme disediakan.

Menurut beliau, Kementerian Kesihatan menguatkuasakan undang-undang dan mengenakan kompaun bertujuan mendidik dan bukan hukuman semata-mata.

Selepas kes peniaga burger yang dikompaun sedemikian rupa, anda fikir rakyat Kelantan masih berani mengambil mudah aspek pematuhan SOP Covid-19?

Lagipun, Covid-19 ini buta bangsa, agama dan lokasi. Semua orang terdedah. Sekarang pun kes makin menaik, siapa yang tak risau?

Takkanlah nak tunggu keadaan jadi seperti India yang kini digambarkan oleh WHO sebagai memilukan. Pada Ahad lepas, kes Covid-19 di India mencecah 16,960,172 dengan 349,691 kes baharu direkodkan dalam 24 jam. Ia hari keempat berturut-turut lebih 300,000 kes didaftarkan dalam sehari.

Kes Covid-19 harian di negara itu dijangka meningkat menjadi 500,000 kes sehari. Setengah juta kes sehari!!! Dan cuma beransur reda antara Jun ke Julai.

Syabas diucapkan kepada kerajaan PN kerana bertindak pantas dan tegas dengan menutup pintu masuk kepada warga dan orang yang datang dari India bagi mengelakkan strains dari sana mengganas di negara kita.

Selepas meneliti rentetan perkembangan kes kompaun pengiaga burger di Kelantan itu, saya mahu bertanya: Zalim sangatkah kerajaan PN?

  • Penulis adalah penganalisis politik. Artikel ini adalah pendangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian UtusanTV.