KEHENINGAN malam di Kampung Sukorejo, Ponogoro, Jawa Timur dikejutkan dengan letupan kuat sehingga menimbulkan suasana panik kepada penduduk pada Selasa lalu.
Mereka berusaha mencari dari mana asalkan bunyi letupan yang menggegarkan desa itu. Tidak lama kemudian mereka menemukan rumah yang didiami dua beradik Sunardi, 23 dan adiknya, Samuri, 21.

Kediaman mereka berantakan.Bahagian bumbung hancur, tembok rumah retak manakala dinding berlubang-lubang.

Lebih mengejutkan penduduk, Sunardi ditemukan meninggal dunia dalam keadaan tubuh terbakar di bawah pohon pisang di belakang rumah tersebut. Kedua-dua kakinya putus.

Sementara adiknya ditemui masih bernyawa walaupun terpelanting ke atas bumbung rumah. Bagaimanapun dia meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.
Ketua Polis Ponogoro, Asisten Komisioner Besar Politik Mochamad Nur Aziz mengetuai sendiri siasatan di tempat kejadian.

Polis menemukan beberapa peralatan membuat mercun iaitu belerang, cecair kimia dan sarung mercun yang masih kosong.

Turut dirampas berpuluh-puluh meter gulungan plastik yang dipercayai akan dijadikan belon udara dan daun kelapa kering yang akan digunakan untuk menerbangkan belon cara membakarnya.

“Dengan barang bukti yang ada diperkirakan (mercun) ini akan dipasang di balon udara,” kata Azis.

Beliau juga memaklumkan, letupan yang berlaku cukup besar kerana boleh didengari sehingga 7 kilometer.

Menurut Azis, letupan itu berlaku kerana geselan antara alat yang digunakan untuk mengacau belerang.

“Mungkin kerana gesekan itu menjadi panas atau timbul percikan api sehingga bisa meledak (meletup),” kata Azis.

Mengenai keadaan mangsa, Azis berkata, mayat Sunardi sudah tidak sempurna apabila kedua-dua kakinya hancur bermula dari peha ke bawah manakala bahagian tubuh lain bertaburan.

‘’Kita mengesyaki ketika mengacau mercun itu Sunardi mengapitnya dengan api sebab bila letupan kaki dan sebahagian tubuhnya hancur. Ada serpihan tubuh yang ditemukan di belakang rumah ada juga yang ditemukan masyarakat. Jarak ditemukannya dari rumah mangsa korban perkiraan sekitar 100 meter,” jelas Azis.

Kata beliau, walaupun beberapa bahagian tubuh sudah ditemukan namun ia akan sulit melengkapkan bahagian yang hilang.

“Mungkin tidak bisa (tidak boleh) selengkap sedia kala karena (kerana) kakinya hancur. Kami juga minta masyarakat sekitar kalau menemukan kita jadikan satu,” kata Azis sambil menjelaskan tubuh Samuri masih lengkap.

Ketua Polis Sukorejo Asisten Komisioner Polis Benny Hartono berkata, masyarakat di kawasan itu memang mempunyai tradisi menghasilkan belon udara dan mercun menyambut Aidilfitri.