Buat apa saya nak tinggalkan UMNO? Saya setia – Shahidan

0
987

“BUAT apa saya nak tinggalkan UMNO, saya menang pilihan raya dan menjadi calon kedua yang menang dengan majoriti tertinggi di Perlis.”

Demikian kata bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim ketika ditanya sama ada keputusan kepemimpinan tertinggi UMNO untuk menggantikannya dengan Datuk Seri Azlan Man bakal merubah haluan politiknya selepas ini.

Walaupun telah dilucutkan jawatan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis, namun Shahidan memaklumkan tidak langsung menyimpan niat untuk meninggalkan parti tersebut.

Shahidan sebaliknya mengulangi pendiriannya sebelum ini untuk kekal setia dan tidak akan sesekali meninggalkan UMNO walaupun kini hanya berjawatan sebagai Ketua Bahagian Arau sahaja.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Arau itu malah menegaskan lebih mengejar perjuangan memantapkan UMNO di Perlis sehingga berhasil memenangi beberapa pilihan raya sebelum ini berbanding meraih habuan politik.

“Saya menang kerana orang UMNO sokong saya dan rakyat juga undi saya.

“Jadi sudah tentu saya tetap setia kepada uMNO. Apa yang saya bimbang sekarang ini adalah orang lain yang kecundang pendirian mereka kepada UMNO. Apa yang penting di sini adalah saya pernah menjadi ‘komander’ UMNO Perlis untuk banyak pilihan raya dan kita menang.

“Persoalan adakah saya akan tinggalkan UMNO itu patut ditujukan kepada orang yang baru masuk UMNO kemudian diberikan habuan. Saya bukan kejar habuan politik tetapi saya mengejar perjuangan dalam memartabatkan UMNO di mata masyarakat,” katanya seperti dilapor BH Online.

Beliau berkata demikian selepas selesai bersolat tarawih berjemaah di Dewan Warisan, Kangar, semalam.

Baca artikel berkaitan: “Tindakan Zahid pecat Shahidan sebagai terdesak, tidak masuk akal” – Zahidi

Mengulas lanjut, Shahidan turut melihat kerjasama dengan Azlan sebagai sesuatu yang positif dalam memantapkan UMNO Perlis.

Walau bagaimanapun, beliau secara sinis turut berharap Azlan yang juga Menteri Besar Perlis supaya dapat hadir dalam Mesyuarat Perhubungan UMNO Perlis.

Hal demikian kerana Shahidan mendakwa Azlan yang juga Ketua UMNO Bahagian Kangar itu gagal menghadiri mesyuarat tersebut sebelum ini.

“Kalau betul nak kerjasama itu sebagai satu yang positif. Cuma saya harap.. dulu masa saya jadi pengerusi, mesyaurat selalu tak hadir jadi kali ini harap dapat hadir mesyuarat.

“Saya juga tak mahu komen pasal beberapa akar umbi UMNO menolak pelantikan Azlan, yang paling penting saya nak pastikan seluruh Bahagian Arau menang dengan gagah perkasa pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

“Insya-Allah tugas bahagian sekarang ini adalah untuk memilih calon yang akan bertanding dalam PRU. Ini termaktub dalam Perlembagaan UMNO baharu iaitu adalah menjadi tugas bahagian memberi nama calon. Jadi, akan datang ini kita hendak menang lagi,” jelas beliau.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram