SEORANG peniaga burger di Kelantan dikompaun RM50,000 kerana berniaga melebihi masa ditetapkan. Foto MEDIA SOSIAL

KISAH pemilik kedai runcit, gerai burger dan colek yang dikompaun sehingga RM50,000 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) ternyata menarik simpati orang ramai.

Ketiga-tiga peniaga kecil yang dikenakan kompaun itu juga tular dalam media sosial sehingga ada beberapa pihak mahu menghulurkan bantuan bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi mereka.

Namun begitu, ketiga-tiga peniaga itu sekurang-kurangnya boleh menghela sedikit nafas lega kerana Polis Kelantan mengumumkan nilai kompaun berkenaan dipertimbangkan untuk dikurangkan.

Menurut Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat, pertimbangan untuk mengurangkan nilai kompaun tersebut merupakan hasil perbincangan antara polis Kelantan dengan Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), semalam.

Shafien berkata, hasil perbincangan itu turut menetapkan polis Kelantan akan mengambil tindakan mengikut garis panduan penetapan nilai tawaran kompaun yang ditetapkan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan peraturan-peraturan di bawahnya.

JKNK di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pula, kata Shafien, mempunyai bidang kuasa untuk menawarkan kadar pengurangan kompaun sebagaimana garis panduan tersebut.

Baca artikel berkaitan: Colek atau abang burger, kompaun RM50,000 terlalu tinggi – Ismail Sabri

Katanya, kes-kes lain yang dikenakan kompaun bagi individu dan premis sebelum ini juga dinasihatkan supaya membuat rayuan kepada JKNK untuk mendapatkan kadar pengurangan kompaun mengikut garis panduan dikeluarkan kerajaan.

“Merujuk kepada kompaun 26 April 2021, kes tular di media sosial iaitu pemilik gerai burger, kedai runcit dan gerai colek, KKM di Kelantan memaklumkan kesemua pemilik premis ini akan dipertimbangkan kadar kompaun seperti mana dalam garis panduan,” katanya dalam kenyataan seperti dilapor Bernama.com hari ini.

Isu kompaun RM50,000 terhadap ketiga-tiga peniaga kecil di Kelantan itu tular dalam media sosial dengan netizen termasuk selebriti melahirkan simpati dan bersedia menghulurkan bantuan.

Sementara itu, Shafien turut mengingatkan orang ramai di Kelantan supaya sentiasa mematuhi SOP dan peraturan ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) demi bersama-sama menghentikan rantaian penularan COVID-19.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram