Orang akan buat, atur, sekat tapi kalau Allah kata saya mati, saya akan mati – Ayob Khan

0
34880

“Orang akan buat tuan-tuan. Orang akan atur tuan-tuan. Orang akan sekat tuan-tuan. Tapi kalau Allah dah tentukan wahai Ayob kamu akan mati pukul 12.05 minit, sakit jantung ketika memberi syarahan di INTAN Kluang, saya akan matilah.”

Demikian kata Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay ketika ditanya sama ada ketegasannya membanteras jenayah kemungkinan membawa kepada ketidakpuasan hati sesiapa yang sanggup melakukan apa sahaja termasuk amalan sihir.

Menurut Ayob Khan, seseorang tidak perlu berasa takut dengan makhluk sehingga tidak dapat melaksanakan kerja masing-masing kerana rezeki dan kematian tidak ditentukan manusia sebaliknya ditetapkan Allah.

Paling penting, kata Ayob Khan, seseorang itu seharusnya melaksanakan kerja dengan ikhlas kerana Allah tanpa perlu bimbang dengan anasir luar.

“Tuan-tuan, orang macam saya ini memang orang tak suka. Sejak saya buat Bahagian Anti Pengganas (E8) lagi memang ramai yang tak suka. Masyarakat umum mungkin suka tapi orang ada kepentingan tak suka.

“Mereka kata Ayob ini keras kepala, kasar dan langgar orang. Cakaplah apa nak cakap. Saya buat kerja ikhlas dan ikut peraturan serta undang-undang. Bukan ikut undang-undang sendiri. Cuma mungkin pendekatan saya kasar.

“Bagi saya kita jangan angkuh. Jangan cakap besar. Paling penting kita buat kerja ikhlas kerana Allah dan yang lain jangan bimbang. Allah yang tentukan. Wahai Ayob kamu akan pencen sebagai Ketua Polis Johor, kamu tak akan naik ke atas. Jadi saya pencen sebagai Ketua Polis Johor lah,” katanya.

Baca artikel berkaitan: Penyebar senarai 12 penguat kuasa terlibat Geng Nicky dicari – Ayob Khan

Beliau berkata demikian dalam Majlis INTAN Executive Lecture Series: Integriti, Penghayatan, Praktik dan Cabaran di INTAN Kampus Wilayah Selatan, hari ini yang turut disiarkan di Facebook Polis Johor.

Ayob bagaimanapun tidak menafikan amalan sihir tidak dapat lari daripada kehidupan masyarakat.

“Memang ada orang khususnya orang Melayu kita tak boleh tengok orang lain lebih daripada dia. Dia akan gunalah. Tak boleh berdepan dia guna cara halus. Tak boleh nak ni, dia guna bomoh Siam,” jelas beliau.

Berkongsi kepada BH Online cara beliau untuk berlindung dengan perkara sedemikian, Ayob Khan berkata, beliau mengamalkan surah Yasin sebagai pendinding.

“Insya-Allah, ayat surah Yasin kan ayat kesembilan itu pendinding. Kalau nak keluar rumah pun baca. Insya-Allah. selain daripada ayat kursi.

“Tetapi nak kena yakinlah. Memanglah benda benda mistik tu ada, bukan tak percaya. Tapi kamu jangan yakin mereka yang menentukannya,” katanya.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram