KERAJAAN komited untuk melaksanakan umur kelayakan pengundi 18 tahun dalam tempoh terdekat untuk memberi peluang kepada golongan muda menjadi pemilih dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, hal itu telah dibincangkan dan disahkan dalam Mesyuarat Kabinet, semalam dan akan diusahakan agar dapat dilaksanakan dalam tempoh terdekat.

Takiyuddin Hassan

Menurutnya, ini selaras dengan pindaan kepada peruntukan Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan yang dipersetujui sebulat suara di Parlimen secara dwipartisan pada tahun 2019.

“Susulan keputusan tersebut, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengambil langkah segera untuk menyelesaikan beberapa perkara lagi berkaitan peruntukan undang-undang tertentu yang berkaitan dan perkara teknikal termasuk memperkemaskini sistem perisian yang diperlukan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut Takiyuddin berkata, adalah jelas melalui ketetapan yang dibuat itu menunjukkan betapa kerajaan beriltizam untuk memberi peluang kepada golongan muda yang berumur tidak kurang 18 tahun menjadi pemilih dalam PRU-15 mahupun dalam mana-mana Pilihan Raya Kecil dan Pilihan Raya Negeri.

Tambahnya, kerajaan juga yakin SPR sentiasa bersiap sedia dengan pelbagai persiapan untuk menguruskan proses pilihan raya dari segi logistik, sumber manusia serta penyesuaian berhubung prosedur operasi standard (SOP) selaras dengan norma baharu pengendalian pilihan raya ekoran penularan Covid-19 di negara ini.

Mac lalu, Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, pendaftaran pemilih automatik dan kelayakan mengundi pada usia 18 tahun dijangka hanya mampu dilaksanakan selepas 1 September 2022.

Beliau berkata, pihaknya harus bersikap realistik dengan perkembangan dan situasi semasa negara ketika ini yang secara umumnya masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan Covid-19.

Secara tidak langsung katanya, situasi sedemikian menjejaskan perancangan dan persiapan SPR menjayakan pendaftaran pemilih automatik serta undi 18, yang sebelum ini sepatutnya dijangka dilaksanakan Julai depan.

“Justeru, pendaftaran pemilih automatik dan undi 18 dijangka boleh dilaksanakan selepas 1 September 2022 apabila menilai semula pelbagai kekangan dan isu yang menjejaskan perancangan serta persiapan awal SPR,” katanya.