Al-Quran ialah kitab mukjizat terbesar dikurniakan kepada Nabi Muhammad s.a.w. yang mencabar kekuatan dan daya pemikiran manusia sejak dahulu hingga ke hari ini.

Apa yang terkandung dalam al-Quran mencakupi segala aspek kehidupan termasuk akidah, ibadah, akhlak, perundangan dan berbagai-bagai lagi. Ia juga mengandungi syariat dan peraturan untuk memandu kehidupan manusia yang meliputi aspek individu, keluarga, masyarakat, ekonomi, politik dan hubungan antarabangsa. Disebabkan itu al-Quran menjadi petunjuk kepada manusia dan seluruh alam.

Firman Allah S.W.T. dalam surah al-Baqarah: 185 yang bermaksud: “Bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah.”

Al-Quran mencangkupi seluruh aspek kehidupan.

Di dalam al-Quran terdapat ayat yang menyebut bahawa al-Quran diturunkan pada malam Lailatulqadar, manakala ayat yang lain pula menyatakan dalam bulan Ramadan.

Sesetengah pendapat ulama mengatakan al-Quran diturunkan pada malam 17 Ramadan. Walau apa pun, semuanya betul kerana al-Quran diturunkan dalam tiga peringkat atau lebih dikenali dengan istilah penurunan yang tiga.

Peringkat pertama, al-Quran diturunkan sekali gus sebanyak 30 juzuk daripada Allah ke Luh Mahfuz yang tidak tahu di mana letaknya, iaitu satu-satunya tempat yang paling mulia yang terkumpul padanya segala ketentuan Allah untuk semua makhluk-Nya.

Ini jelas melalui firman Allah dalam surah al-Buruj: 21 yang bermaksud: “Bahkan ialah al-Quran yang tertinggi kemuliaannya. (Lagi yang terpelihara dengan sebaik-baiknya) pada Luh Mahfuz.”

Mengikut pendapat sesetengah ulama, penurunan pertama berlaku di bulan Ramadan yang penuh dengan keberkatan, berpandukan firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 185 yang bermaksud: “Bulan Ramadan yang padanya di turunkan al-Quran menjadi pertunjuk bagi sekalian manusia…”

Hikmah al-Quran ditempatkan buat sementara di Luh Mahfuz di antaranya adalah untuk memberi kemuliaan kepada al-Quran kerana ianya merupakan semulia-mulia tempat di sisi Allah.

Peringkat pertama ini juga perlu bagi menyempurnakan kewujudan Luh Mahfuz iaitu tempat bagi segala perancangan yang wujud di alam ini dan al-Quran adalah termasuk di dalam perancangan Allah ke dunia ini.

Peringkat kedua, setelah berada sekian lama di Luh Mahfuz,  maka al-Quran diturunkan buat kali keduanya iaitu dipindahkan sekali gus daripada Luh Mahfuz ke Baitul Izzah yang terletak di langit dunia (langit pertama) yang mana terhimpun padanya segala rahsia dan khazanah Allah.

Penurunan kedua ini berlaku pada malam Lailatulqadar berpandukan firman Allah dalam surah al-Qadar: 1 yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami turunkannya (al-Quran) pada malam Lailatulqadar.”

Peringkat ketiga, peringkat akhir sekali setelah tersimpan selamat di Baitul Izzah untuk jangka masa yang tertentu, dikawal rapi oleh para malaikat yang ditugaskan untuk menjaganya, akhirnya bertepatan pada tanggal 17 Ramadan (bersamaan 7 Ogos 610M), ketika Rasulullah s.a.w. sedang bertahannuth (mengasingkan diri di dalam gua Hira’) Jibrail a.s. membawa turun dari Baitul Izzah lima ayat yang pertama dari awal surah al-Alaq dan dibacanya kepada Rasulullah s.a.w. ketika Baginda berada dalam gua itu.  

Selepas itu, al-Quran terus diturunkan kepada Rasulullah s.a.w secara beransur-ansur selama hampir 23 tahun iaitu 13 tahun di Mekah dan 10 tahun di Madinah. Firman Allah dalam  surah al-Israa’: 106 yang bermaksud: “Dan al-Quran itu Kami bahagi-bahagikan supaya engkau membacakannya kepada manusia dengan lambat tenang dan Kami turunkannya secara beransur-ansur.”

Ketika itu al-Quran diturunkan di antaranya bagi menjawab soalan-soalan yang diajukan, atau bagi menjelaskan sesuatu perkara. Sesungguhnya hikmah diturunkan al-Quran secara berperingkat-peringkat itu adalah untuk membezakan al-Quran dengan kitab-kitab Samawi terdahulu yang diturunkan secara sekali gus.

Pengumpulan al-Quran

Pada zaman Rasulullah, al-Quran terpelihara di dalam dada para-para sahabat dan ada juga yang ditulis di pelepah-pelepah tamar, kulit-kulit binatang dan pada kepingan-kepingan batu.

Pada zaman Khalifah Abu Bakar r.a., al-Quran yang telah ditulis di zaman Rasulullah itu dikumpulkan di atas cadangan Umar al-Khattab. Ini disebabkan ramai para penghafaz al-Quran yang gugur syahid di dalam peperangan al-Yamamah.

Selepas kematian Sayidina Abu Bakar r.a., semua tulisan-tulisan al-Quran yang telah dikumpulkan, diserahkan kepada Sayidatina Hafsah binti Umar yang juga merupakan isteri Rasulullah s.a.w.

Sewaktu Umar menjadi Khalifah, Umar meminta semua tulisan al-Quran yang tersimpan di rumah Hafsah dikumpul dan disusun semula. Setelah siap disusun ia dinamakan Suhuf.

Sewaktu di zaman Khalifah Uthman Ibnu Affan r.a.,  orang-orang bukan Arab (ajam) semakin ramai memeluk Islam. Mereka tidak mengenali dan tidak tahu membaca al-Quran, lantas Uthman mengarahkan supaya al-Quran disusun dan ditulis semula dengan kaedah yang lebih sistematik dengan meletakkan tanda huruf (titik) dan tanda baris untuk mudah dikenali. Setelah siap ia dinamakan Mashaf Uthmani.

Daripada mashaf ini, disalin ke dalam beberapa naskhah lain dan dihantar ke kota-kota besar Islam pada waktu itu, di samping arahan supaya membakar semua al-Quran yang ditulis sebelumnya. Sehinggalah ke hari ini, al-Quran yang kita baca dikenali dengan nama Mashaf Uthmani.

Beza al-Quran dengan kitab terdahulu

Ajaran daripada kitab-kitab terdahulu hanya ditujukan kepada golongan manusia yang tertentu sahaja, bukan untuk seluruh manusia, sebaliknya al-Quran bersifat universal yang diturunkan untuk seluruh umat manusia dan makhluk jin di segenap pelosok bumi dan diguna pakai sehingga ke akhir zaman.

Teks asal kitab-kitab Samawi yang terdahulu seperti Taurat, Zabur dan Injil telah pun hilang. Salinannya telah diubah suai dan ditokok tambah oleh tangan-tangan manusia. Berbeza dengan al-Quran yang telah melalui peredaran masa yang begitu lama tetapi hingga ke hari ini masih utuh dan kekal seperti asal yang pernah diturunkan kepada Rasulullah s.a.w tanpa pengurangan dan penambahan.

Kitab terdahulu pula diturunkan dalam bahasa yang telah pupus sejak berabad yang silam. Sedangkan al-Quran diturunkan dalam bahasa yang hidup, sehinggakan ramai yang boleh berbicara dan memahami bahasa Arab sekalipun dia bukan seorang yang berbangsa Arab.

Al-Quran mempunyai sejarah yang terang dan setiap ayatnya dapat diketahui dengan jelas tentang sejarahnya, tempat dan sebab penurunannya, juga mengandungi wahyu Allah yang terpelihara keasliannya.

Turunnya al-Quran merupakan nikmat terbesar yang dikurniakan oleh Allah s.w.t kepada seluruh umat Islam. Oleh itu, seharusnya sebagai seorang Islam wajib kita bersyukur dengan membuktikannya melalui ketaatan terhadap segala perintah dan mengamalkan ajaran yang terkandung di dalam al-Quran.

___________

Artikel lain : Kajian mendapati semut boleh bercakap. Ia tercatat dalam al-Quran, ribuan tahun sebelum saintis berjaya mengkajinya

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram.