
SEKUMPULAN penyeludup lari ‘lintang-pukang’ meninggalkan 1.8 juta rokok putih bernilai RM1.62 juta selepas kegiatan mereka dikesan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan.
Dalam kejadian pukul 11.10 malam pada Rabu lalu, APMM Kelantan turut berjaya merampas enam kenderaan pelbagai guna (MPV) disyaki milik kumpulan penyeludup itu untuk mengangkut rokok yang dibawa.
Pengarah APMM Kelantan, Kapten Maritim Muhd. Nur Syam Asmawie Yaacob berkata, sepasukan pegawai dan anggotanya sedang melaksanakan Op Khas menggunakan bot samaran kira-kira satu batu nautika dari muara Kuala Senok sebelum mengesan sebuah bot dalam keadaan mencurigakan.
Menurut Muhd. Nur Syam, pasukan itu kemudiannya mengekori bot berkenaan sehingga merapat ke tebing sungai Pengkalan Datu sebelum melarikan diri ke dalam hutan paya bakau berhampiran.
Katanya, kumpulan penyeludup itu turut meninggalkan bot mereka selepas menyedari diekori pegawai dan anggota APMM.
Baca artikel berkaitan: Bertindak ganas serang APMM, nelayan asing ditahan
APMM rampas RM15.5 juta dadah, ketum di Kedah/Perlis tahun lalu
Beliau berkata, APMM turut menemui satu paket kecil disyaki dadah jenis syabu beserta peralatan menghisap dadah dipercayai untuk kegunaan peribadi ahli kumpulan penyeludup tersebut.
“Hasil siasatan lanjut menemukan 1.84 juta batang rokok putih dengan nilai dan cukai berjumlah RM1.62 juta.
“Nilai bot dan enam MPV dianggarkan berjumlah RM758,000 sekali gus menjadikan keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM2.38 juta,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat APMM Kelantan seperti dilapor Bernama.com.
Mengulas lanjut, Muhd. Nur Syam memaklumkan rokok tersebut dipercayai untuk dipasarkan ke kawasan-kawasan perladangan dan Felda seperti Gua Musang, Kuala Krai dan sebahagian Felda di Pahang.
“Rokok, MPV dan bot terbabit dibawa ke Ibu Pejabat APMM Kelantan untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk siasatan di bawah Akta Kastam 1967 dan Akta Dadah Berbahaya 1952,” jelas beliau.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram