tya arifin fauziah nawi

GARA-gara salah faham dengan menantu Datuk Seri Siti Nurhaliza iaitu Tya Arifin, pelakon senior Fauziah Nawi enggan meneruskan penggambaran dan dikatakan hampir ‘angkat kaki’ dari set penggambaran!

Malah, lebih mengeruhkan keadaan apabila video perselisihan faham itu turut tular di media sosial dan mengundang pelbagai reaksi warganet.

Enggan membiarkan perkara tersebut berlarutan, Tya tampil menjelaskan keadaan sebenar yang berlaku antara dirinya dan aktres berusia 67 tahun itu.

“Terlebih dulu saya nak mohon maaf di atas kesulitan tak terduga dan salah faham ini. Apa yang terjadi diluar kawalan saya.

“Saya sendiri sudah bertanyakan perkara sebenar kepada staf yang bertanggungjawab. Dia tidak berniat apa-apa…sekadar berkongsi kepada temannya, cuma tak sangka perkongsian video itu disebarkan pula kepada kawannya.

“Saya sudah bersemuka denganya dan kami akan ambil tindakan sewajarnya.

“Sebab itu jugalah saya jelaskan apa yang terjadi ketika penggambaran sekali gus memohon maaf tetutama kepada ibu Fauziah Nawi,” katanya kepada URTV.

Tya atau nama sebenarnya Nutria Wulandari Arifin seara peribadi cukup mengagumi dan menyenangi bakat lakonan pelakon veteran itu.

“Apa yang boleh saya jelaskan, memang berlaku kelemahan komunikasi. Pada asalnya saya diberitahu oleh pengurusan memang dipihaknya (pengurus Fauziah) sudah bersetuju dengan bayaran yang ditetapkan.

“Cuma apabila sampai di lokasi penggambaran drama pendek itu, saya dimaklumkan yang ibu Fauziah menyangkakan ia hanyalah projek membabitkan pelajar universiti.

“Tetapi selepas diberitahu ia membabitkan produk, dia mula meminta harga yang sewajarnya. Malah, memang dia sampai tahap nak balik rumah,” ulasnya.

Bagaimanapun menurut Tya, akhirnya kata sepakat dicapai apabila nilai bayaran dinaikkan dan penggambaran diteruskan.

“Ibu Fauziah turut meminta maaf kerana datang lewat pada pukul 10 pagi sedangkan ‘call time’ ialah pukul 7 pagi.

“Memang kami selesaikan cepat kerana di sebelah petang saya ada urusan mesyuarat.

“Mujurlah dia seorang yang sangat profesional dan tidak mengambil masa lama untuk babak penggambaran,” tuturnya.

Terdahulu tular satu rakaman video yang memperlihatkan Fauziah tidak mahu meneruskan babak lakonannya di set penggambaran sebuah rumah kampung di laman Twitter.

Bagaimanapun, Tya yang berpakaian sekolah cuba memujuk dan menjelaskan keadaan sebenar kepada Fauziah.

Drama pendek berdurasi lima minit arahan ElHelmiKhir itu mengisahkan mengenai hubungan ibu dan anak yang sangat rapat sejak dari kecil.

Ia merupakan sebuah projek khas Sesudu Kebahagian bagi kempen raya jenama Jus Kesihatan Mutyara.