Datuk Seri Hamzah Zainudin pada sebuah sidang akhbar di ibu negara tahun lalu./ Gambar FB KDN

“SAYA rasa itu adalah suara yang benar oleh saya dan tidak melakukan apa-apa kesalahan.”

Demikian kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin memberi pengesahan ketika ditanya mengenai suara dalam audio yang tular melibatkan perjawatan dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Sambil memaklumkan percakapan telefon itu dilakukan tahun lalu, Hamzah turut memberitahu beliau hanya meminta Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador supaya memberi senarai nama untuk dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Beliau berkata, tindakan itu juga tidak bermakna beliau mencampuri urusan perjawatan PDRM kerana sudah menjadi tanggungjawabnya sebagai Pengerusi Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) dalam menentukan tugasan pegawai polis.

“Apa yang salahnya. Cuma yang salah adalah orang yang merakam perbualan saya dengan seseorang. Itu lakukan kesalahan. Saya hanya minta supaya Ketua Polis Negara bagi beberapa nama kepada Seri Paduka.

“Tiada mirip-mirip. Itu saya hairan kadang-kadang bila ada audio tular orang tu tak mengaku. Tapi saya mengaku sebab tiada salah.

“Saya adalah Pengerusi SPP dan dalam Perlembagaan pun SPP ini merupakan suruhanjaya tertinggi yang menentukan tugasan pegawai-pegawai polis.

“Apa cerita ini? Yang masalahnya kalau saya suruh buat perkara di luar tanggungjawab saya. Itu masalah,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyerahkan surat pelantikan Ketua Polis Negara kepada Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani hari ini.

Baca artikel berkaitan: “Minta maaflah kalau kata saya campur tangan” – Hamzah

Sebelum ini, satu rakaman audio berdurasi satu minit 22 saat tular dalam media sosial dengan suara percakapan telefon itu mirip Hamzah.

Perbualan telefon itu antara lain menyentuh mengenai pertukaran jawatan dan kenaikan pangkat dalam PDRM di samping lantikan seseorang berasal dari Perak.

Ketika ditanya sama ada beliau akan membuat laporan polis berhubung isu itu, Hamzah memberitahu tiada keperluan setakat ini untuk membuat laporan.

“Saya Menteri Dalam Negeri, jadi saya boleh lakukan dengan beberapa cara lain. Siapa yang rakam? itu persoalannya.

“Polis tidak payah siasat sebab saya mengaku itu suara saya. Cuma siapa yang rakam perbualan itu, macam mana nak buat. Itu tak payah tanya saya,” jelas beliau.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram