Padah cuba sogok polis RM30,000, 4 lelaki dicekup

0
954
Empat suspek cuba menyogok wang sebanyak RM30,000 kepada polis sebagai balasan untuk melepaskan rakan mereka yang ditahan dalam satu serbuan perjudian di Kuala Lumpur semalam. Foto GAMBAR HIASAN

KEDEGILAN empat lelaki apabila berterusan menawarkan wang sogokan kepada polis di sebalik keengganan anggota penguatkuasa untuk menerima ‘habuan’ itu mengundang padah apabila kesemua mereka ditahan semalam.

Dalam kejadian di sebuah apartment di Jalan Perak, Kuala Lumpur itu, empat suspek terbabit cuba menyogok wang sebanyak RM30,000 kepada polis sebagai balasan untuk melepaskan rakan mereka yang ditahan dalam satu serbuan perjudian.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, terdahulu pasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi membuat serbuan pada pukul 3 pagi di sebuah apartment dan menahan lapan individu.

Katanya, mereka yang ditahan terdiri dua lelaki dan seorang wanita tempatan serta lima lelaki warga China berusia 27 hingga 32 tahun.

“Hasil pemeriksaan merampas 108 daun terup, tiga keping catitan angka perjudian, kad akses, kad sim dan wang tunai RM1,213.

“Bagaimanapun semasa serbuan itu, polis didatangi empat lelaki berusia 25 hingga 39 tahun memperkenalkan diri sebagai rakan suspek di mana mereka ingin menawarkan wang RM30,000 bagi membebaskan suspek,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohamad Zainal berkata, pasukan JSJ IPD Dang Wangi bagaimanapun menolak tawaran tersebut dan memberi amaran supaya mereka tidak menggangu tugas polis.

Namun,  keempat-empat suspek terus menawarkan wang berkenaan.

“Polis kemudian menahan mereka semua dan merampas wang itu. Siasatan kes rasuah akan diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya.

Sementara itu, Mohamad Zainal memberitahu, dalam serbuan berasingan di dua buah unit lain pada pukul 4 pagi, polis menahan empat lelaki warga China berusia 26 hingga 27 tahun.

Ujarnya, dalam serbuan itu, polis merampas sebanyak 10 telefon bimbit, empat kad sim dan wang tunai RM3,311. 

“Semua 12 orang yang ditahan itu disiasat mengikut Seksyen 4(1) (g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 6 (1) Akta Imigresen 1959/63,” tambahnya.