PENYANYI Ramlah Ram begitu teruja apabila dipelawa untuk menyertai program Amal Qaseh Ezmeals bersama UtusanTV bagi mengedarkan pek makanan kepada orang ramai di sekitar Perkarangan Kompleks Campbell, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menurut Ramlah,56, sebelum ini dia antara selebriti yang aktif menyertai acara yang melibatkan kerja-kerja kebajikan dan kemanusiaan.

Namun dek pandemik Covid-19 yang melanda negara sejak tahun lalu, penyanyi Kau Kunci Cintaku Di Dalam Hatimu itu sudah jarang melibatkan diri memandangkan ramai penganjur perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Atas sebab itulah Ramlah tidak menolak saat dipelawa oleh pihak UtusanTV untuk menjadi sebahagian anak seni dalam menjayakan program mengedarkan pek makanan Ezmeals pada bulan Ramadan kali ini.

Ramlah Ram menghulurkan beg berisi paket makanan tajaan Ezmeals

“Alhamdulillah, seronok sangat dapat bersama-sama dengan pasukan Qaseh Ezmeals dan UtusanTV untuk berkongsi juadah berbuka puasa dengan orang ramai.

“Saya sebenarnya sangat seronok menyertai acara begini kerana tahun lepas tidak ada sebarang aktiviti melibatkan orang ramai disebabkan wabak Covid-19, jadi tahun ini baru ada kesempatan untuk sertai.

“Jika sebelum ini saya sering diundang untuk menjadi tetamu di majlis berbuka puasa dan mengedarkan bubur lambuk…itu pengalaman yang berbeza.

“Sebab untuk program Qaseh Ezmeals dan UtusanTV ini saya dapat berjumpa dengan orang ramai dan menyerahkan sendiri paket makanan kepada pejalan kaki di sekitar Jalan Dang Wangi,” katanya kepada URTV.

ramlah ram
Ramlah sebak tak dapat sambut Ramadan dan beraya bersama ibu tercinta

Bercerita lanjut tentang sambutan bulan Ramadan pada kali ini, Ramlah akui sedih kerana sudah dua tahun tidak dapat meraikan bulan muila ini bersama ibu tercinta, Ne,79,

Ujarnya, seperti kelaziman, dia pasti akan mengambil cuti untuk pulang ke kampung halaman di Kluang, Johor bagi bersama-sama memyambut puasa pertama dengan keluarga.

Disebabkan terpaksa akur dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Ramlah sekali lagi terpaksa membatalkan niat untuk pulang ke kampung halaman pada tahun ini disebabkan angka kes positif Covid-19 menunjukkan peningkatan.

“Tahun lepas saya tak dapat berterawih dengan ibu begitu juga Ramadan kali ini. Kalau tidak kerana Covid-19 ini, sayalah yang akan bergegas pulang ke kampung halaman sebab nak sambut bulan puasa bersama dengan keluarga.

“Memang lain sangat suasananya bila sambut bulan puasa dalam keadaan PKP. Segala-galanya terbatas termasuklah tak boleh nak merentas negeri.

“Kali terakhir jumpa ialah pada tahun lalu sewaktu pergerakan rentas negeri dibenarkan kerajaan selain kebetulan saya ada urusan kerja di Johor Bahru, jadi bolehlah singgah sebentar melawat orang tua.

“Memanglah di sudut hati ada rasa sedih tapi bila difikirkan semula, apa yang kerajaan buat itu sebenarnya ada baiknya. Ia demi kebaikan kita semua…jadi kena redalah,” ujarnya.