Foodpanda jirat Cina
Muhammad Zulfikar ketika menunggu pelanggan di sebuah perkuburan Cina di Ipoh, Perak.

MENJADI kelaziman setiap pesanan makanan yang dibuat pelanggan beralamat untuk memudahkan penghantaran dilakukan, akan tetapi seorang penghantar makanan dari Ipoh, Perak ini terpaksa melalui situasi “meremang” bulu roma apabila perlu menghantar satu pesanan ke satu tempat yang langsung tidak disangkakannya.

Mana tidaknya, apabila tiba ke lokasi, pesanan itu datang dari sebuah kawasan tanah perkuburan Cina yang sunyi sepi tanpa kelibat sesiapa pun di sekeliling.

Membuatkan lebih cemas ketika Muhammad Zulfikar Azizi, 26, tiba di lokasi hari sudah hampir masuk waktu maghrib.

Muhammad Zulfikar berkata, bersendirian di kawasan perkuburan itu dengan hari sudah beralih senja sudah cukup membuatkan dia seram.

Dia kemudian bertindak menghubungi nombor telefon pelanggan terbabit namun selepas berkali-kali mencuba tiada sesiapa menjawabnya,

Dalam hatinya ketika itu kuat mengatakan dirinya sudah kena “prank” dengan pelanggan dan rasa kecewa mula meresapi kerana ia bukan pertama kali perkara sedemikian menimpa dirinya.

“Saya sampai je kat situ, saya pelik siapa pula yang order dekat kubur ni, jadi saya terus hubungi pelanggan banyak kali tapi tak angkat, saya hubungi Customer Service, dia suruh saya tunggu lagi kat situ, so saya tunggu lah,” ujar Zulfikar kepada UtusanTV.

Klik untuk saksikan video: https://vt.tiktok.com/ZSJStvSDp/

Namun, selepas menunggu lebih dari 30 minit, akhirnya dia menerima panggilan balas daripada pelanggan yang ditelefonnya sebelum itu.

Lega kata hatinya apabila pesanan tersebut bukan “prank” seperti yang disangkakan.

“Dia (pelanggan) cakap kat saya dia tak dengar telefon dia sebab dia letak dalam ‘silent mode’. Jadi, betullah memang saya kena hantar pesanan tersebut kat jirat tu. Saya rasa pelanggan tu memang kerja kat situ,” tambah Zulfikar.

Dia telah memuat naik sebuah video pendek di laman TikTok menunjukkan dirinya berada di kawasan tanah perkuburan dengan kapsyen “orang mati buat order naya la” telah mendapat pelbagai reaksi mencuit hati dan tak kurang juga yang bersimpati dengan nasib yang menimpa dirinya.

Salah seorang warganet dengan berseloroh dengan berkata “ Abang cakap ja kuat2 TEH O AIS LIMAU!!! Nanti keluarla,” kata @Luqman dalam ruang komen video itu.

Baca artikel berkaitan: Kancil ‘lejen’ kembali, #kancilghost mula tular di laman TikTok

Walaupun pesanan tersebut bukan “prank” Zulfikar yang bekerja sebagai penghantar makanan hampir setahun yang lalu, mengatakan bahawa dirinya telah banyak kali ditipu oleh mereka yang tidak bertanggungjawab dan sudah muak dengan perkara tersebut.

Menurut Zulfikar, panggilan pesanan palsu hanya menggangu penghantar makanan seperti dirinya mencari rezeki.

“Bila kami dapat pesanan palsu, kami kena hubungi pelanggan yang tak wujud sebab orang yang buat ‘prank’ biasanya guna nombor telefon palsu atau nombor yang dah tak digunakan. Jadi perkara itu buang masa,” katanya dan menambah gajinya dikira mengikut jumlah pesanan sehari.

Nasihatnya, hentikan pesanan palsu kerana perkara tersebut banyak memberi kesan kepada penghantar makanan yang mencari sesuap nasi untuk menyara keluarga masing-masing.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram